SHAH ALAM, 15 Mei (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah kerajaan perlu mengambil perhatian serius dalam isu berhubung nahas jalan raya, khususnya yang membabitkan kenderaan berat.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office baginda bertitah melihat kepada jumlah kes kemalangan dan tragedi seumpamanya yang kian meningkat, tindakan segera yang lebih tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi menanganinya.
Baginda mahu sekiranya ada pihak yang didapati bersalah dan menjadi punca kepada kemalangan maut atau menyebabkan kecederaan parah, pemandu serta syarikat terlibat bukan sahaja perlu didenda atau dipenjara, malah lesen memandu mereka wajar ditarik balik.
Baginda bertitah tindakan itu bagi memberi pengajaran kepada pemandu lain agar lebih berhati-hati dan memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi ketika memandu.
Dalam hantaran sama Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Hajah Norashikin menzahirkan perutusan takziah kepada keluarga dan waris sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Teluk Intan, Perak pada Selasa lepas.
Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan tragedi menyayat hati yang menimpa semua mangsa terlibat.
Dalam kejadian sekitar 8 pagi Selasa lepas, sembilan anggota FRU maut dan lapan yang lain cedera selepas trak yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di simpang tiga Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.
Sultan Sharafuddin seterusnya menggesa syarikat-syarikat penggendali perkhidmatan lori, bas dan kenderaan berat agar membuat penilaian ketat dalam memilih pemandu dan kelindan selain mengingatkan semua pihak terlibat tidak memandang ringan terhadap perkara-perkara yang boleh membawa kepada kecuaian seperti kondisi kenderaan dan kelayakan pemandu.
“Baginda berharap dan berdoa agar tidak akan berlaku lagi tragedi kemalangan sebegini, apatah lagi yang membabitkan kehilangan nyawa insan-insan tidak berdosa, khususnya mereka yang sedang berkhidmat untuk keamanan negara,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial