AM

PM Tersentuh Dengar Lagu 'Solidariti Perjuangan'

01/05/2025 02:12 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Lagu “Solidariti Perjuangan” hasil nukilan Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang diperdengarkan buat kali pertama pada sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini telah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tersentuh dengan lagu diolah daripada lagu asal “Solidarity Forever” yang diterbitkan pada 1913, Anwar mahu lagu berkenaan dimainkan di setiap kementerian sebagai pemangkin semangat golongan pekerja.

“Saya tidak mahu lagu ini dimainkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) saja, saya ingin lagu ini dipasang di setiap kementerian.

“Lagu ini menyentuh jiwa kita dan menyemarakkan semangat pekerja dan saya harap pekerja jalankan kerja dengan ikhlas,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Lagu yang dipersembahkan oleh pasukan koir KESUMA itu mendapat tepukan gemuruh daripada kira-kira 10,000 hadirin yang terdiri daripada warga kerja pelbagai sektor awam dan swasta.

Sementara itu, pada sidang media Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata semua stesen televisyen dan radio tempatan diminta memainkan lagu “Solidariti Perjuangan” bagi memartabatkan perjuangan pekerja di negara ini.

“Lagu ini bukan memartabatkan mana-mana kelab bola sepak tapi adalah lagu yang memartabatkan perjuangan pekerja,” katanya.

Sementara itu menerusi lembaran fakta dikongsi kepada media, lagu berkenaan menyemarakkan semangat perpaduan, pengorbanan dan kekuatan pekerja di seluruh negara.

Ralph Chaplin mula menulis “Solidarity Forever” pada 1913, terilham daripada tiupan kencang semangat pelombong dan keluarga mereka sewaktu mogok Paint Creek–Cabin Creek di West Virginia, Amerika Syarikat.

“Ini membuatkan Sim selaku Menteri Sumber Manusia berasa bertanggungjawab untuk menterjemahkan semangat perjuangan pekerja ke dalam bahasa Melayu.

“Selepas lebih 113 tahun, kini lagu “Solidarity Forever” mempunyai versi bahasa Melayu dengan tajuk “Solidariti Perjuangan” meluahkan iltizam gerakan kesatuan sekerja Malaysia memperjuangkan nasib kaum pekerja di negara kita,” menurut kenyataan itu.

Lirik lagu versi bahasa Melayu itu mengisahkan perjuangan pekerja namun dekat dengan budaya tempatan, selain menekankan nilai bersatu-padu atau kesatuan sebagai organisasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan