DUNIA

Nahas Jet Peribadi Di Turkiye: Kotak Hitam Ditemukan, Libya Isytihar Berkabung

24/12/2025 11:35 PM

ISTANBUL, 24 Dis (Bernama-Anadolu) -- Perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit jet peribadi yang terhempas berhampiran ibu negara Ankara sehari sebelumnya, mengorbankan Ketua Turus Am Angkatan Tentera Libya, Jeneral Mohamed Ali Ahmed Al-Haddad serta beberapa individu lain berjaya ditemukan pada awal pagi Rabu daripada bangkai pesawat, kata Menteri Dalam Negeri Turkiye Ali Yerlikaya.

Yerlikaya berkata kepada pemberita bahawa kawasan serpihan bangkai pesawat itu meliputi kira-kira tiga kilometer persegi, lapor Anadolu Ajansi.

“Hasil kerja yang dijalankan di lokasi kejadian oleh pasukan Pusat Siasatan Keselamatan Pengangkutan Kementerian Pengangkutan dan Infrastruktur, perakam suara pesawat ditemukan di kawasan bangkai pada 2.45 pagi (2345 GMT Selasa) manakala perakam data penerbangan ditemukan pada 3.20 pagi (waktu tempatan),” katanya.

Beliau menambah bahawa proses pemeriksaan dan penilaian terhadap peranti berkenaan telah dimulakan.

Menurut Yerlikaya, seramai 408 anggota terlibat dalam operasi di lokasi kejadian dengan sokongan 103 kenderaan darat dan tujuh kenderaan udara.

Beliau berkata delegasi Libya seramai 22 orang, termasuk lima ahli keluarga mangsa serta wakil Kementerian Pertahanan dan pegawai Kementerian Dalam Negeri, telah tiba di Ankara.

“Kami juga amat ingin mengetahui puncanya, namun data ini akan mendedahkan sebab kejadian dan pihak berkuasa akan berkongsi dapatan itu,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta kerajaan dan rakyat Libya, sambil menyifatkan kejadian itu sebagai “kemalangan tragis”.

Sebelum ini, Yerlikaya berkata bangkai jet perniagaan jenis Falcon 50 yang berlepas dari Lapangan Terbang Esenboga, Ankara menuju ke Tripoli, ditemukan oleh pasukan gendarmerie kira-kira dua kilometer di selatan Kampung Kesikkavak di daerah Haymana.

Kerajaan Perpaduan Nasional Libya mengisytiharkan tempoh berkabung negara selama tiga hari susulan kematian mangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan