EKONOMI

BRICS, Rakan Kerjasama Perlu Segera Wujud Pekerjaan, Teknologi Untuk Golongan Bawahan - Liew

17/09/2025 01:48 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- BRICS dan negara rakan kerjasamanya perlu menumpukan kepada misi kolektif untuk mewujudkan teknologi dan pekerjaan serta  kesejahteraan bagi golongan bawahan penduduk dunia, dan usaha ini memerlukan tindakan segera.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 telah memilih tema “Keterangkuman dan Kemampanan,” mencerminkan visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke arah sebuah masyarakat MADANI progresif yang mempunyai potensi ketamadunan.

“Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 Malaysia menetapkan empat misi serentak. Misi ini termasuk peningkatan kompleksiti dalam gabungan industri negara kami yang akan menghasilkan lebih banyak aktiviti tambah nilai dan pengekstrakan nilai serta memperkukuh penerimagunaan teknologi seperti pendigitalan, automasi dan kecerdasan buatan.

“Dua lagi misi adalah menuju pelepasan karbon sifar bersih untuk mencapai matlamat iklim di samping membangunkan ekonomi kami serta memastikan keselamatan ekonomi untuk semua supaya manfaat pembangunan dapat diagihkan secara meluas bagi keharmonian masyarakat dan pembangunan insan,” katanya.

Liew berkata demikian semasa Forum BRICS mengenai Perkongsian dalam Revolusi Industri Baharu 2025 dan Forum Usahawan Pusat Inovasi PartNIR BRICS di Xiamen, China pada Selasa.

Beliau berkata Malaysia berhasrat untuk beralih daripada model “Buatan Malaysia” yang secara asasnya pengilangan kontrak untuk syarikat multinasional kepada pendekatan “Jenama Malaysia” yang akan melahirkan syarikat multinasional tempatan dipacu inovasi teknologi.

“Misi dan aspirasi ini bukan sahaja untuk Malaysia. Kami percaya semua negara membangun berkongsi matlamat yang sama seperti yang dicerminkan dalam Visi Komuniti ASEAN 2045,” katanya.

Liew berkata dunia sedang memasuki sebuah fasa baharu dalam sejarah.

“Pada 2045 kelak, jika kita mengimbas semula kita mungkin akan menyimpulkan 2025 adalah tahun penting apabila dunia berubah haluan -- sama seperti 2001 apabila peristiwa 11 September berlaku dan tindak balas Amerika Syarikat yang telah membentuk landskap geopolitik selama 20 tahun, serta  penyertaan China dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang telah membentuk perdagangan global selama dua dekad.

“Kita kini berada dalam detik bersejarah, dengan negara-negara Selatan Global perlu mewujudkan permintaan melalui pekerjaan, mencipta teknologi serta mengekalkan keamanan dan kesejahteraan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan