BUKIT MERTAJAM, 16 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan memperkasakan aktiviti silat di negara ini menerusi penyelarasan di peringkat sekolah, politeknik, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah inisiatif Pendekar MADANI.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyelarasan itu penting bagi membentuk asas perpaduan, disiplin diri dan jati diri dalam kalangan generasi muda, sejajar dengan nilai MADANI yang menjadi tonggak pentadbiran negara.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan meluluskan peruntukan RM2 juta tahun ini untuk menggerakkan inisiatif Pendekar MADANI bagi menyelaraskan kegiatan semua pertubuhan silat di negara ini.
“Seni pertahankan diri ini bukan untuk bermegah, bukan untuk angkuh, bukan untuk sombong tetapi untuk melatih anak-anak bangsa kita dan kita akan pastikan semua sekolah mendukung semangat Pendekar MADANI ini, diikuti di politeknik, IPG dan IPT.
“Kita akan hidupkan aktiviti ini sebagai suatu kegiatan yang menyatukan semangat anak-anak muda dengan satu matlamat iaitu mengangkat martabat, harkat dan darjat bangsa ini,” katanya ketika berucap pada Himpunan Pendekar MADANI di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Bakar bersama lebih 10,000 pesilat dari seluruh negara.
Anwar menjelaskan bahawa semua pertubuhan silat bebas meneruskan latihan dan warisan masing-masing namun perlu disatukan menerusi satu platform penyelarasan di bawah Pendekar MADANI bagi membentuk kekuatan kolektif bangsa.
Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat menyelaraskan usaha tersebut dengan bantuan persatuan-persatuan silat di negara ini.
Beliau juga berkata Pendekar MADANI juga merupakan usaha kerajaan memperkasakan semula warisan silat dan seni mempertahankan diri Melayu dengan nilai disiplin, semangat perjuangan serta akhlak mulia.
Pada majlis tersebut, Anwar turut ditabalkan sebagai Imam Khalifah Agong “Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti” oleh Datuk Dr Raja Abdul Majid Raja Mat Isa mewakili Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial