AM

Gangguan Bekalan Air Di Sandakan, Sukarelawan Bantu Agih Bekalan Air

16/09/2025 02:39 PM

SANDAKAN, 16 Sept (Bernama) -- Pasukan sukarelawan giat membantu mengagihkan bekalan air kepada penduduk Sandakan yang berdepan masalah bekalan air susulan operasi Loji Rawatan Air Segaliud terjejas akibat gangguan bekalan elektrik yang berlaku pada Sabtu lepas.

Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee berkata pasukan sukarelawan giat mengagihkan bekalan air hingga ke tengah malam tadi, dan hari ini pengagihan air akan diteruskan dan lori tangki dari Pantai Barat juga akan tiba untuk menawarkan bantuan.  

“Kami memohon maaf atas krisis yang sedang kita hadapi akibat kekurangan bekalan elektrik selepas kerosakan menara KV beberapa hari lepas. Para sukarelawan kami sedang berusaha sehabis baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Bekalan air disalurkan lori tangki yang disediakan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan tinjauan Bernama mendapati penduduk turut menggunakan sumber mata air untuk keperluan harian.

Beliau berkata pasukan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan lapisan masyarakat itu benar-benar menyaksikan perpaduan di Sandakan.

Pada Sabtu, bekalan elektrik di enam daerah di pantai timur Sabah terjejas selepas kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan gangguan talian penghantaran 275KV Kolopis-Segaliud.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan