AM

MCMC Perkukuh Usaha Pulihkan Komunikasi Mangsa Bencana Di Sabah

15/09/2025 10:41 PM

PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh usaha bagi memastikan mangsa bencana di Sabah kekal terhubung melalui penyediaan kemudahan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) dan perkhidmatan internet komuniti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan PRIME iaitu kenderaan mudah alih dilengkapi sokongan komunikasi telah digerakkan ke Kampung Cendrakasih dan Penampang bagi membantu pasukan penyelamat serta menyokong kerja-kerja pemulihan infrastruktur oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Pada masa sama, sebanyak 131 NADI turut diaktifkan untuk menyediakan capaian internet kepada masyarakat terkesan agar mereka kekal berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa.

Sehingga kini, sebanyak 266 menara telekomunikasi terjejas akibat gangguan bekalan elektrik dan daripada jumlah itu, lebih separuh atau 147 menara kembali beroperasi, dengan kerja-kerja pemulihan giat dilaksanakan secara berperingkat bersama syarikat telekomunikasi.

MCMC juga menubuhkan Pasukan Petugas bersama syarikat telekomunikasi dan SESB bagi memantau keadaan semasa di tapak terkesan. 

Mesyuarat berkala memberi tumpuan kepada penyelarasan pemulihan collector sites (tapak utama yang mengawal liputan komunikasi di kawasan sekitarnya) dan tapak kritikal yang dikenal pasti sebagai sasaran penting, selain memastikan penyaluran bekalan kuasa sementara melalui set generator bagi mempercepat proses pemulihan komunikasi.

“MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi penyelamat, syarikat telekomunikasi serta pihak berkuasa negeri dan Persekutuan bagi memastikan komunikasi dan capaian internet di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan