JENAYAH & MAHKAMAH

Kementerian Minta Kerjasama Google Siasat E-mel Ugutan Lucah

14/09/2025 09:01 PM

NIBONG TEBAL, 14 Sept (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan mendapatkan kerjasama syarikat Google bagi membantu siasatan insiden e-mel ugutan berunsur video lucah yang diterima beberapa wakil rakyat baru-baru ini.

Menterinya Datuk Fahmi Fadzil berkata siasatan perlu dilakukan kerana e-mel berkenaan dipercayai dihantar individu sama kepada ramai penerima.

“Malah, saya sendiri dimaklumkan beberapa jam lepas bahawa saya turut menerima e-mel tersebut dua hari lalu. Ayatnya sama, gambarnya hampir sama. Jadi, besar kemungkinan ia dihantar oleh individu yang sama.

“Kita akan meminta pihak Google membantu menyiasat pihak yang telah menerbit dan menghantar e-mel tersebut, dan kita tunggu maklum balas daripada pihak Google,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bersama Aktifkan Kesukarelawanan Teras Inspirasi (BAKTI) Komuniti MADANI di Dataran Kuala Haji Ibrahim di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Julina Johan.

Fahmi berkata pihaknya turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menambah kelengkapan forensik digital bagi membolehkan pengesanan terhadap bahan yang mungkin dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kita dapati jumlah mereka yang menerima e-mel ugutan daripada scammer AI ini sangat besar dan kemungkinan besar mereka memperoleh alamat e-mel rasmi semua wakil rakyat lelaki daripada laman web Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara,” katanya.

Terdahulu, Fahmi melalui hantaran di Facebook memaklumkan beliau antara sembilan wakil rakyat yang menerima e-mel ugutan itu, termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; ADUN Kulim, Wong Chia Zen; serta Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Beliau menegaskan perbuatan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain boleh disiasat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan