AM

Festival Layang-layang Antarabangsa Kuantan Tarik 20,000 Pengunjung

14/09/2025 07:42 PM

KUANTAN, 14 Sept (Bernama) --Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan 2025 yang berlangsung di Pantai Sepat, di sini sejak Khamis berjaya menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata festival itu turut menarik penyertaan 25 peserta antarabangsa dari 12 negara termasuk Indonesia, Jepun, Korea, Ukraine, Filipina, Hong Kong, Thailand dan Vietnam serta 24 peserta dari negara ini.

“Penganjuran (festival) kali ketiga ini bukan sahaja mencatatkan nama Pahang dan Kuantan dalam kalendar pelancongan negeri dan negara, malah menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh ramai peserta dan pengunjung antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan festival itu di sini hari ini. 

Teks ucapan beliau dibacakan Datuk Bandar Kuantan Datuk Zaliza Zulkipli.

Beliau berkata festival yang berlangsung selama lima hari itu dianjurkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Pelayang Malaysia (MPM) dan Persatuan Pelayang Pahang bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia serta Tourism Pahang. 

Wan Rosdy berkata kehadiran lebih 20,000 pengunjung itu memberi impak besar kepada sosioekonomi tempatan termasuk pengusaha hotel, makanan dan peniaga kecil.

“Pada 2024, Pahang menerima 13.7 juta pelancong dengan jumlah perbelanjaan dianggarkan RM12.34 bilion, meningkat hampir empat peratus berbanding 2023. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang juga meningkat 5.7 peratus, lebih tinggi daripada kadar nasional 5.1 peratus,” katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan