EKONOMI

MITI Sasar Bina Kerjaya Berteknologi Tinggi Untuk Belia - Tengku Zafrul

14/09/2025 02:07 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang meningkatkan usaha untuk memacu perindustrian semula yang sistematik bagi menyokong matlamat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, kata menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) bukan sahaja melakar laluan untuk perindustrian semula malah turut giat menggalakkan industri menerima pakai teknologi tinggi dan pendigitalan.

“Kami mahu memastikan label ‘Buatan Malaysia’ menjadi lambang kepada kualiti dan inovasi. Ini seterusnya akan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi pada masa depan,” katanya dalam ucaptama pada Pameran Pemerkasaan Belia, ‘Memperkasakan Belia dalam Tenaga Kerja Digital’ hari ini.

Tengku Zafrul berkata MITI komited untuk memastikan kerjaya belia berkembang dalam persekitaran teknologi tinggi baharu melalui tiga teras utama: pembangunan industri, pemerkasaan pelaburan dan perdagangan antarabangsa.

Beliau berkata antara misi NSS ialah melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi untuk industri semikonduktor. 

“Kami mahu menjadikan Malaysia sebagai hab kecerdasan buatan (AI) generatif menjelang 2030. Bagi menjadikan negara sebagai pencipta dan inovator dalam bidang AI, kami menyasarkan untuk menyepadukan teknologi ini dalam keseluruhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata peluang kerjaya yang jelas untuk golongan belia sedang diwujudkan secara bersama oleh MITI dan agensinya.

Sebagai contoh, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) sedang mewujudkan hab digital khusus untuk membangunkan kepakaran dalam analisis data, robotik dan AI, terutamanya untuk masa depan sektor automotif dan mobiliti.

Sementara itu, program Engineering Talent for Semiconductor Industry, diterajui bersama Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp), menyediakan latihan industri berstruktur dan latihan khusus untuk melahirkan jurutera yang diperlukan oleh industri berteknologi tinggi dan bernilai tinggi di Malaysia.

“Inisiatif ini memastikan pertumbuhan industri disokong oleh penawaran bakat yang kukuh. Di sinilah golongan belia dan graduan Malaysia dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dapat mengambil peranan bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi dalam industri,” katanya.

Mengenai perdagangan antarabangsa, Tengku Zafrul berkata MITI sedang berusaha mewujudkan persekitaran perdagangan yang dinamik dan berdaya saing untuk menyokong kerjaya belia dengan menggalakkan eksport ke pasaran antarabangsa dan mendorong industri mengguna pakai piawaian global tertinggi dan teknologi terkini.

“Penggubal dasar seperti MITI telah meletakkan asas dan menyediakan peluang; peluang itu adalah untuk anda rebut.

“Kami amat berharap anda akan menggunakan bakat, tenaga dan matlamat anda pada peluang ini, untuk membantu membentuk masa depan Malaysia yang lebih progresif,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan