PENAMPANG, 13 Sept (Bernama) -- Sebanyak 21 bangunan awam dan komuniti di daerah ini boleh diwartakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk membantu penduduk semasa banjir, kata Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata sebelum ini, hanya Dewan Pusat Kebudayaan Sabah dijadikan PPS di sini.
”Saya bersimpati dengan kesusahan penduduk terjejas banjir dan berharap bantuan serta kerja pemulihan dapat dijalankan segera,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kesan banjir dan tanah runtuh di sekitar Penampang hari ini.
Antara kawasan terlibat ialah sepanjang Jalan Penampang-Tambunan, Kampung Dungkahang, Kampung Penampang Proper, PPS Dewan Huguan Siou Kampung Tuavon, PPS Kompleks Sukan Penampang.
“Sebanyak lapan lokasi tanah runtuh dikesan sepanjang Jalan Penampang-Tambunan dengan kerja pembersihan sedang dijalankan dan hanya satu lorong jalan dibuka sementara waktu,” katanya.
Selain itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan pam air kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Dungkahang, Kampung Penampang Proper dan Kampung Tuavon untuk membersihkan kawasan rumah penduduk terjejas banjir.
Beliau turut melakukan tinjauan di Kampung Pogunon bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.
“Saya menghargai keprihatinan Ketua Menteri meninjau kawasan kesan banjir dan tanah runtuh. Beliau mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR), syarikat konsesi Lintasan Resources dan Sabah Electricity memastikan kerja pemulihan segera," katanya.
Ewon berkata telah memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung bencana banjir dan tanah runtuh di Penampang pada mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching, Sarawak semalam.
Selain itu, beliau juga memberi cadangan kepada Hajiji agar peruntukan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya diberikan untuk membina semula atau membaik pulih rumah penduduk terjejas teruk akibat banjir dan tanah runtuh.
Ewon juga memaklumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai keperluan melaksanakan projek tebatan banjir Penampang pakej 2 dan 4 bagi melengkapkan pakej 1 dan 3 yang sedang berjalan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial