JENAYAH & MAHKAMAH

Bungkusan Disyaki Mengandungi Mayat Ditemukan Di Tepi Sungai

13/09/2025 12:12 AM

IPOH, 12 Sept (Bernama) -- Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan satu bungkusan disyaki mengandungi mayat di kawasan sungai berhampiran Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Kerawat, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun telah membuat laporan selepas dimaklumkan penduduk kampung mengenai penemuan itu.

Beliau berkata siasatan awal di tempat kejadian bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah mengesahkan terdapat satu bungkusan tersangkut pada batang pokok di tepi sungai. 

“Pemeriksaan lanjut menemukan satu bungkusan disyaki mengandungi mayat dan identiti mangsa masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Abang Zainal Abidin berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat bagi menentukan sama ada terdapat sebarang unsur jenayah.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ketua Polis Balai Simpang Pulai Insp Tai Zhe Jin di talian 019-5448601.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan