AM

Tuntutan UMANY Mansuh Matrikulasi Bukan Pendirian Rasmi UM - NC

12/09/2025 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Kenyataan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) yang menuntut program matrikulasi dimansuhkan, tidak mencerminkan pendirian rasmi Universiti Malaya (UM).

Naib Canselornya (NC) Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata program matrikulasi negara merupakan sistem pendidikan yang menyeluruh, yang telah terbukti berperanan dalam menyediakan akses kepada pendidikan tinggi kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang.

“Sistem matrikulasi adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan dalam memastikan peluang pendidikan yang lebih inklusif dan saksama untuk semua. 

“UM kekal komited menyokong dasar pendidikan negara yang berteraskan prinsip keadilan, kebolehcapaian dan pembangunan modal insan demi kemajuan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Azuan berkata UM sentiasa menyokong kebebasan bersuara dalam kalangan warga kampus, selaras semangat keterbukaan dan intelektualisme yang menjadi asas sesebuah institusi pengajian tinggi. 

“Namun demikian, kebebasan ini perlu diiringi rasa tanggungjawab serta pertimbangan yang wajar terhadap sensitiviti dan implikasi kenyataan yang dibuat, terutama yang melibatkan dasar awam,” tambahnya. 

Terdahulu, dilaporkan Presiden UMANY Tang Yi Ze menuntut agar program matrikulasi dimansuhkan dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan sebagai piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam (UA).

Sementara itu, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) turut mempertahankan program matrikulasi sebagai laluan penting ke pendidikan tinggi, selain risau pemansuhannya akan mengurangkan peluang akses pendidikan kepada sebahagian besar pelajar dan tidak mencerminkan kepentingan jangka panjang pembangunan pendidikan negara.

MPPK menerusi kenyataan berkata program matrikulasi telah terbukti memainkan peranan besar dalam menyediakan landasan efektif bagi melahirkan mahasiswa cemerlang serta menampung keperluan tenaga mahir negara.

“MPPK mengecam sebarang tindakan, desakan atau pendekatan yang boleh menjejaskan kesejahteraan mahasiswa serta mencetuskan keresahan masyarakat. Setiap isu pendidikan perlu dibincangkan dengan rasional dan profesional, bukannya berpandukan emosi atau kepentingan tertentu semata-mata.

“Perancangan dasar pendidikan perlu berteraskan kepentingan jangka panjang negara, mengutamakan agenda pembangunan insan serta memastikan seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, mendapat manfaat daripada sistem pendidikan yang saksama dan berkualiti,” menurut MPPK. 

Sehubungan itu, MPPK menyeru agar perbincangan mengenai masa depan pendidikan dilaksanakan dengan semangat keterangkuman, keadilan dan kesaksamaan.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan