AM

Hari Malaysia Bakal Tampil Artis Popular Pelbagai Kaum Termasuk Ratu Rock Ella

11/09/2025 05:51 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusof

GEORGE TOWN, 11 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Malaysia 2025 pada 16 Sept ini akan menampilkan semangat perpaduan dengan menggabungkan artis popular tanah air pelbagai kaum yang berkongsi satu pentas.

Ratu Rock negara Ella atau Nor Zila Aminuddin bakal menggegarkan pentas Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth bersama Suki Low, Roshini Balachandran serta artis yang diterbangkan khas dari Sabah dan Sarawak iaitu Dabra Sia dan Rezza Shah.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama, Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Pulau Pinang Hasmiza Hussein berkata sambutan tahun ini bukan sahaja menampilkan artis-artis popular seluruh negara, malah mewakili pelbagai kaum dan agama yang mencerminkan identiti masyarakat Malaysia yang majmuk.

Beliau berkata kesemua artis itu akan tampil dalam persembahan yang akan diiringi lebih 100 peserta kebudayaan yang melengkapkan suasana dengan tarian berkonsepkan kepelbagaian bangsa Malaysia.

“Bagi segmen persembahan nyanyian, pengunjung akan disajikan dengan kemuncak yang penuh gemilang apabila Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya mengambil peranan sebagai pengiring utama.

“Persembahan artis dengan gabungan muzik tradisional dengan sentuhan moden dijangka memberi pengalaman persembahan yang segar, meriah serta penuh jiwa patriotik,” katanya di pejabat JAPEN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” pada 8.30 malam. Turut dijadual hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pada 11 Jun, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung di Pulau Pinang, selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung setiap tahun.

Hasmiza berkata sambutan bermula 9 pagi hingga 10 malam itu, turut menampilkan pelbagai program antaranya pameran foto dan galeri sejarah oleh JAPEN serta Persatuan Sejarah dan Warisan Pulau Pinang, yang memaparkan perjuangan sebelum merdeka, detik kemerdekaan 1957 serta kronologi pembangunan negara selepas pembentukan Malaysia.

Selain itu, beliau berkata terdapat juga reruai interaktif oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) termasuk set cuba bakat DJ dan RTM Klik, Kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan reruai Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.

“Turut diadakan demonstrasi makanan tradisional, antaranya ubi kayu, sebagai pengalaman budaya untuk pengunjung dan pameran pakaian serta peralatan tradisional yang membolehkan masyarakat lebih dekat dengan warisan bangsa,” katanya.

Pengunjung juga boleh melawat Zon Pameran Bertema iaitu Zon A yang menampilkan zaman sebelum Merdeka meliputi artifak, replika dan video kehidupan rakyat;  Zon B (zaman semasa Merdeka iaitu paparan tokoh, rakaman laungan Merdeka dan keratan akhbar); serta Zon C (zaman selepas merdeka hingga kini seperti foto pembangunan negara dan akhbar pembentukan Malaysia 1963).

Hamiza berkata pada sambutan itu, Perdana Menteri turut akan menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang sempena Kempen Bersama Malaysiaku, yang dianjurkan menerusi Gerakan Bersama Malaysiaku sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Beliau berkata Gerakan Bersama Malaysiaku merupakan inisiatif penyatuan rakyat peringkat kebangsaan, yang mengajak rakyat Malaysia untuk menghantar swafoto masing-masing beserta maklumat ringkas dan kapsyen yang menggambarkan latar belakang serta pengalaman hidup mereka.

“Foto-foto yang dihimpunkan akan dijadikan sebagai koleksi wajah rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia dan paling menarik tiga pemenang utama akan menerima hadiah daripada Perdana Menteri sebuah Proton e.Mas, sebuah Proton X70 serta sebuah motosikal Modenas,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan sambutan Hari Malaysia, beliau berkata persiapan berjalan lancar dengan semua kelengkapan teknikal telah siap dipasang dan kini bersedia untuk sesi raptai.

Beliau berkata pihaknya turut menyediakan skrin besar bagi menyiarkan secara langsung perjalanan majlis tersebut kepada orang ramai yang berada di pekarangan PICCA, kerana sambutan berlangsung dalam auditorium pusat konvensyen tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan