EKONOMI

TVET Bantu Perkasa Tenaga Kerja Malaysia Bagi Industri Pertumbuhan Tinggi - Pakar Ekonomi

11/09/2025 04:48 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mesti dilihat sebagai penyelesaian barisan hadapan yang kritikal bagi melengkapkan tenaga kerja di Malaysia dengan kemahiran bagi industri pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu dan kenderaan elektrik, kata seorang pakar ekonomi.

Felow Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia Prof Madya Irwan Shah Zainal Abidin hari ini berkata pendekatan itu membolehkan Malaysia muncul sebagai hab bagi bakat berkemahiran tinggi dan menarik pelaburan langsung asing (FDI), sekali gus menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah yang ideal bagi syarikat global.

Beliau berkata keutamaan yang diberikan kepada TVET adalah kunci untuk memenuhi permintaan industri, termasuk pelabur asing, dan dalam proses itu, melindungi pertumbuhan negara. 

Bagaimanapun, katanya, ‘majikan sering bergelut untuk mencari juruteknik, jurutera dan pakar yang berkelayakan’ walaupun Malaysia terus menarik FDI, terutamanya dalam pembuatan termaju dan industri semikonduktor.

Irwan Shah memetik mengenai rancangan Boeing membuka kemudahan dan sokongan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau, pengembangan semikonduktor oleh Intel, Infineon dan Tata Electronics, serta penempatan semula di bawah strategi ‘China+1’, yang memerlukan kumpulan bakat yang tepat.

“Pelaburan sahaja tidak mencukupi tanpa kumpulan bakat yang tepat kerana industri seperti semikonduktor memerlukan ketepatan, disiplin dan kemahiran termaju,” katanya dalam satu kenyataan ketika mengulas mengenai peningkatan kepentingan TVET dalam landskap industri di Malaysia. 

“Juruteknik, jurutera dan pakar kita akan menjadi tulang belakang sebenar kepada industri ini, (dan) dengan latihan yang tepat, Malaysia boleh meletakkan kedudukannya bukan sahaja sebagai tuan rumah kepada syarikat global tetapi juga sebagai hab bagi bakat berkemahiran,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan bahawa ketidakpadanan yang semakin meningkat antara bekalan buruh mahir dan permintaan industri, terutamanya dalam pertumbuhan tinggi, sektor bernilai tinggi, boleh mengancam dan memperlahankan kemajuan ekonomi Malaysia. 

Katanya, cabaran lebih mendesak ketika negara sedang berusaha untuk menaiki rantaian nilai dan memanfaatkan sektor yang baharu muncul seperti ekonomi hijau (rendah karbon), biru (marin mampan), kelabu (berkaitan berbahaya) dan jingga (kreatif).

Selain itu, ekonomi tersebut bertujuan mencapai pertumbuhan dengan mengurangkan risiko alam sekitar, menggunakan sumber laut dan alam sekitar secara mampan bagi pertumbuhan ekonomi, dan memupuk ekonomi kreatif yang menjana pertumbuhan intelektual, yang kesemuanya memerlukan kemahiran baharu.

Antara 2022 hingga 2023, Irwan Shah berkata seramai 260,000 graduan baharu memasuki pasaran pekerjaan, manakala hanya 150,000 pekerjaan kemahiran tinggi diwujudkan, yang menyebabkan 110,000 atau 36 peratus pengangguran dalam pasaran buruh pada tahun tersebut. 

Oleh itu, beliau menekankan bahawa ketidakpadanan itu merupakan satu peringatan kepada penyedia pendidikan di Malaysia.

Institusi pendidikan tinggi mesti segera beralih dengan memasukkan elemen TVET yang lebih kukuh ke dalam program mereka, bagi memastikan pelajar yang tamat pengajian dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan pihak industri.

Tanpa transformasi itu, Malaysia berisiko melahirkan graduan yang tidak memenuhi kehendak sektor pekerjaan masa depan manakala industri pula terus berdepan dengan kekurangan pekerja mahir.

Beliau berkata untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran, ekosistem TVET dalam tiga bidang di Malaysia perlu dipertingkatkan, iaitu kapasiti, yang menyediakan lebih banyak tempat, makmal dan kemudahan mengikut gred industri, kualiti, termasuk modul terkini selaras dengan teknologi dan keperluan industri, serta laluan perkembangan TVET yang lebih jelas di peringkat universiti dan pembelajaran sepanjang hayat. 

Irwan berkata Revolusi Perindustrian Keempat dan teknologi baharu muncul seperti kecerdasan buatan dan internet pelbagai benda (IoT) telah membentuk semula keperluan industri, memerlukan kemahiran baharu, yang tidak mampu disediakan oleh pendidikan tradisional sahaja.

“Institusi TVET berada dalam kedudukan yang lebih baik jika ia dapat menyesuaikan diri dengan cepat kepada perubahan ini, terutamanya dalam sektor termaju seperti tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik dan semikonduktor.

“Walaupun bakat rentas sempadan boleh memenuhi jurang itu bagi tempoh jangka pendek, daya tahan jangka panjang bergantung kepada ekosistem TVET yang dipacu di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI,” kata Irwan Shah. 

“Pada masa hadapan, Malaysia bukan sahaja perlu menjadi tempat barangan dihasilkan. Ia mestilah mengenai ‘Buatan Malaysia’ yang dikuasakan oleh kemahiran, inovasi dan bakat tempatan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan