AM

PM Anwar Hulur Sumbangan Ringankan Beban Mangsa Kebakaran Di Kuantan

11/09/2025 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada Nor Riza Embong, mangsa kebakaran rumah di Bandar Indera Mahkota Jaya, Kuantan, Pahang.

Sumbangan tunai berjumlah RM10,000 itu diserahkan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Nor Riza di kediamannya.

“Meski kediaman beliau musnah hampir keseluruhannya, namun Alhamdulillah, syukur tiada sebarang kemalangan jiwa.

“Dugaan ini pastinya begitu berat untuk ditanggung, lebih-lebih lagi apabila melibatkan tempat berteduh sekeluarga,” menurut Ahmad Farhan dalam hantaran Facebook yang turut dikongsikan Perdana Menteri hari ini.

Ahmad Farhan berharap sumbangan berkenaan dapat menampung sedikit sebanyak kos dan meringankan beban Nor Riza sekeluarga.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang turun padang membantu sewaktu dan selepas kejadian tersebut yang berlaku baru-baru ini, khususnya pasukan bomba, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan komuniti setempat yang pantas memberikan sokongan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan