MELAKA, 11 Sept (Bernama) -- Batik hasil tangan prospek (penghuni) penjara, adalah antara produk kraf tempatan yang dipamerkan sebagai medium diplomasi budaya pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat berkaitan, di sini.
Batik yang dihasilkan sepenuhnya oleh prospek di bawah program rehabilitasi Jabatan Penjara Malaysia itu membuktikan bahawa kemahiran kreatif yang diasah di kemudahan pemulihan dapat diubah menjadi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan ekonomi.
Pengurus Jualan Galeri Produk Penjara Ayer Keroh Insp Nik Mohd Fitrie Nik Abdullah berkata inisiatif ini bukan sahaja menonjolkan kualiti hasil tangan banduan, tetapi juga mengubah persepsi masyarakat dengan mempromosikan pemulihan melalui seni dan warisan.
"Menerusi platform ini, kami menunjukkan bahawa prospek juga mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kraf tangan berkualiti tinggi seperti batik lukis, songket dan beg yang membawa nilai budaya dan komersial.
"Sebelum ini, ada seorang delegasi dari Thailand membeli dua tali leher yang diperbuat daripada songket, menunjukkan wujudnya minat terhadap hasil kerja kami dan produk ini boleh dibawa ke negara lain juga," katanya kepada Bernama.
Istilah "prospek" merujuk kepada banduan yang mengikuti program pemulihan atau pembangunan sahsiah, sebagai satu pendekatan progresif yang bertujuan mengubah persepsi masyarakat sekali gus memberikan peluang kedua kepada individu yang menjalani hukuman.
Nik Mohd Fitrie berkata setiap negara mempunyai budaya tersendiri, dan hasil ciptaan Malaysia mencerminkan warisan Melayu dengan cara yang unik.
"Namun, keunikan kraf tangan prospek kami ialah semuanya dibuat sepenuhnya menggunakan tangan, bukan menggunakan mesin, sekali gus menjadikan produk kami istimewa dan eksklusif untuk pemiliknya, produk edisi terhad," katanya.
Melaka menjadi pusat tumpuan serantau minggu ini apabila menteri-menteri ASEAN dan pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan jenayah rentas sempadan berhimpun dari Isnin lepas hingga esok bagi menghadiri AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.
Acara itu diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan", mencerminkan komitmen negara untuk membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial