AM

KPDN P.Pinang Periksa, Siasat Premis Makanan Guna Sijil Halal Bukan Miliknya

10/09/2025 10:25 PM

GEORGE TOWN, 10 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah premis makanan di medan selera sebuah pusat beli-belah di Bayan Lepas, dekat sini yang tular videonya mendakwa kedai tersebut menggunakan sijil halal bukan milik premis tersebut.

Pengarahnya S. Jegan berkata pegawai penguat kuasa KPDN negeri menjalankan pemeriksaan itu bersama penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) di premis tersebut bermula 11 pagi dan mendapati beroperasi dengan pekerja warga Myanmar di situ.

“Kami mengambil tindak pantas dengan menjalankan pemeriksaan ke atas premis itu dan terdahulu pasukan penguat kuasa turut memeriksa sebuah premis makanan di medan selera di Persiaran Gurney, kedua-dua kedai tersebut dipercayai milik syarikat yang sama, berdasarkan nama (premis) sama.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati, tidak terdapat sebarang logo Halal Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) atau membuat apa-apa representasi atau perbuatan yang boleh memperdaya atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal dan boleh dimakan oleh orang Islam yang ditampal atau dibuat didalam premis perniagaan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kedua-dua premis itu dinasihatkan supaya mematuhi kesemua peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak KPDN dan pihaknya turut mengeluarkan dua Kenyataan Pemeriksaan Premis (KKP) terhadap premis tersebut.

Jegan berkata KPDN Pulau Pinang masih menjalankan pemeriksaan dan pemantauan terhadap premis-premis tersebut, kerana risau pemilik kedai telah buang sijil halal yang dipamerkan selepas kejadian tersebut tular.

Terdahulu tular video berdurasi 1 minit 30 saat memaparkan seorang lelaki mempertikaikan tindakan pekerja sebuah premis makanan di medan selera sebuah pusat beli belah yang meletakkan sijil halal JAKIM yang didakwa bukan milik premis tersebut, malah dikatakan ia (premis) milik orang bukan Islam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan