PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan bahawa peralihan politik baru-baru ini di Thailand dan Indonesia, tidak akan menjejaskan kestabilan serantau atau keyakinan pelabur, sambil menyifatkan ASEAN secara relatifnya sebagai rantau yang paling aman.
“Setakat yang kita tahu, keadaan di Thailand agak stabil dengan Perdana Menteri baharu mereka Anutin Charnvirakul, dan kita ucapkan selamat maju jaya kepada mereka. Kestabilan adalah yang paling penting.
“Begitu juga, semalam saya bercakap dalam telefon agak lama dengan Presiden Indonesia Prabowo, dan beliau menyatakan keadaan hampir kembali normal. Saya fikir keadaan agak stabil dan setakat ini kita tidak melihat sebarang reaksi negatif daripada pelabur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH), di sini.
Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, berharap pelabur akan terus menaruh keyakinan terhadap rantau ini.
Mengenai peranan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi bagi hal ehwal ASEAN, Anwar berkata perkara itu akan dibincangkan lanjut bersama Perdana Menteri baharu Thailand Anutin.
“Tiada keperluan ambil apa-apa keputusan segera sehingga beliau datang dalam tempoh singkat untuk bincang kerjasama dengan Thailand dan ASEAN.
“Peranan Thaksin tentunya terbatas, kerana beliau tidak bebas untuk memberikan pandangan dan kerjasama,” katanya.
Kenyataan Anwar itu hadir ketika pasaran sedang memerhati dengan rapat proses peralihan kepimpinan di kedua-dua negara, dengan Anutin baru-baru ini dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand manakala Indonesia menamakan Purbaya Yudhi Sadewa sebagai Menteri Kewangan baharu menggantikan Sri Mulyani Indrawati.
Sebagai rujukan, pada Disember 2024 Anwar telah melantik bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi beliau mengenai hal ehwal ASEAN, sepanjang tempoh Malaysia mempengerusikan blok itu.
Sementara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) hari ini menganjurkan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH) ke-9 yang dirasmikan Perdana Menteri.
Persidangan akademik itu membawa tema “Hubungan Kemanusiaan dalam Era Kecerdasan Buatan dan Teknologi”, dengan memberi tumpuan kepada pelbagai bidang termasuk kerja sosial, psikologi, linguistik, kesusasteraan, komunikasi, keselamatan, budaya, politik, agama, kajian digital, ekonomi dan lain-lain.
Menerusi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM memperkukuh usaha bersama untuk memperdalam kefahaman, meluaskan kerjasama serta mempertingkatkan tindak balas terhadap isu-isu sosial global yang semakin kompleks.
Turut hadir Zambry, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman, serta Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Prof Dr Kadaruddin Aiyub.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial