KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 2025 hari ini ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan, selepas bersidang selama 10 hari dalam tempoh tiga minggu, bermula 25 Ogos 2025.
Dari segi ekonomi, persidangan pada hari ini menyaksikan Rang Undang-Undang (RUU) Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 dibahaskan dan diluluskan, bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil dari negara luar.
RUU berkenaan dibentang bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong.
Sebelum itu, dua RUU telah dibahaskan dan diluluskan sepanjang tempoh persidangan iaitu Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 dan RUU Perolehan Kerajaan 2025 di bawah Kementerian Kewangan (MoF).
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying yang membentangkan RUUKP 2025 berkata Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan bagi mengawal selia pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit.
Katanya, ini akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme peserta industri dan mewujudkan persekitaran kredit yang selamat.
Bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang membentangkan RUU berkenaan berkata ia bertujuan memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan.
RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 33 Senator bersetuju, lapan tidak bersetuju, dua tidak mengundi dan 14 tidak hadir.
"RUU ini turut memperkenalkan tindakan punitif atas sebarang pelanggaran dan Menteri Kewangan juga tidak terkecuali daripada akauntabiliti sekiranya gagal menzahirkan kepentingan atau campur tangan dalam proses perolehan," jelas Amir Hamzah.
Sementara itu, pada minggu pertama persidangan, Dewan Negara dimulakan dengan perbahasan usul Pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) diikuti jawapan balas oleh menteri dan timbalan Menteri berkaitan kewangan, ekonomi, perdagangan, pelaburan dan industri.
Pada sesi penggulungan RMK13, Amir Hamzah berkata kerajaan komited memperkukuh kedudukan fiskal negara dengan mengurangkan pinjaman baharu, menurunkan defisit dan memperluas hasil melalui langkah percukaian yang lebih bersasar.
“Hala tuju RMK13 berpaksikan kepada tiga teras ekonomi MADANI iaitu meningkatkan siling, meningkatkan lantai dan memperkukuhkan tata kelola yang baik," kata beliau.
RMK13 juga memberi tumpuan kepada pengurangan jurang wilayah dan pelaburan strategik bagi membangunkan negeri-negeri yang kurang membangun.
Selain itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong dalam penggulungannya berkata Malaysia memberi tumpuan untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh baharu.
Liew juga menjelaskan kerajaan MADANI mengambil pendekatan tenang and terukur, pendekatan 'whole-of-government' dan tidak bersekutu bagi memperkasa agenda ekonomi negara dengan menjalin hubungan dagang bersama semua negara termasuk kuasa besar dunia serta blok ekonomi utama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial