JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Kesan Menantu Muhyiddin Di Timur Tengah

10/09/2025 03:27 PM

PETALING JAYA, 10 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mendapatkan maklumat keberadaan ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dipercayai berada di Timur Tengah. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata usaha sedang dijalankan untuk mengesan lokasi sebenar Muhammad Adlan dan pihaknya juga sudah mengambil beberapa tindakan semalam. 

Azam berkata pihaknya juga berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju dengan permohonan SPRM untuk membatalkan pasport Muhammad Adlan bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan projek di sebuah kementerian. 

“Saya dimaklumkan beliau berada di sebuah negara di Timur Tengah. Saya tidak boleh dedahkan nama negara tersebut tetapi ia adalah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan kita. Kita akan berusaha untuk berunding dengan negara itu mengenai cara kita boleh bawa dia pulang ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SPRM dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Mereka ialah Muhammad Adlan dan peguam, Mansoor Saat dengan kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Mengulas lanjut, Azam berkata usaha dilakukan bagi mengesan lokasi sebenar Muhammad Adlan,  termasuk mendapatkan kerjasama daripada Polis Antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa lain.

Berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) berkaitan isu rasuah konsesi perlombongan pasir, Azam mengesahkan pihaknya telah mengambil tindakan baharu berkaitan siasatan kes tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Ini berikutan khabar angin mendedahkan beberapa individu terkait dengan skandal rasuah tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada minggu lepas. 

Mengenai pemeteraian MoU itu, Azam berkata ia bertujuan meningkatkan integriti, selain SPRM bekerjasama dengan ANGKASA untuk menjalankan pelbagai program serta membantu dalam melicinkan hal berkaitan integriti dan pentadbiran. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan