AM

Perak Bentang RUU Baharu Perkasa, Perkemas Pentadbiran Institusi Pendidikan Agama Islam

09/09/2025 05:00 PM

IPOH, 9 Sept (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 digubal bagi memperkasa, menyelaras dan memperkemas pentadbiran institusi pendidikan agama Islam di negeri ini agar lebih teratur, berkesan serta mampu menghadapi cabaran semasa.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata RUU berkenaan merupakan langkah penting menggantikan Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 yang menjadi rujukan sedia ada.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata enakmen 1996 tersebut mengawal pendaftaran dan urus tadbir sekolah-sekolah agama Islam di Perak, namun selepas lebih dua dekad berkuat kuasa, ia tidak pernah dipinda dan banyak peruntukannya kini dianggap ketinggalan zaman serta tidak sesuai dengan realiti semasa.

“Justeru, pindaan ini menjadi keperluan mendesak agar kerajaan dapat merangka serta melaksanakan peruntukan baharu yang lebih komprehensif, supaya undang-undang sedia ada selaras dengan cabaran pendidikan masa kini,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Saarani berkata RUU tersebut juga bertujuan memastikan sekolah-sekolah agama Islam terus relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi aspirasi ummah.

Katanya, bagi memastikan kewujudan sekolah lebih terkawal, RUU baharu menetapkan mana-mana individu yang ingin membuka sekolah perlu membuat permohonan penubuhan terlebih dahulu seperti diperuntukkan dalam Fasal 6 berhubung Penubuhan.

“Penambahbaikan turut dicadangkan dalam Fasal 8 dengan menetapkan kelayakan ahli Jemaah Pengurusan Sekolah serta memastikan sumber kewangan sekolah diperoleh secara sah menurut undang-undang,” katanya.

Menurut Saarani, RUU berkenaan diyakini dapat memperkukuh tadbir urus institusi pendidikan agama Islam di negeri ini agar lebih efisien dan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya masyarakat Islam di Perak.

“Kesimpulannya, Rang Undang-Undang Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 adalah manifestasi kesungguhan kerajaan negeri untuk memperkukuh sistem pendidikan agama Islam di Perak.

“Ia bukan sekadar pindaan perundangan, tetapi suatu ikhtiar besar bagi memastikan sekolah-sekolah agama Islam terpelihara, diurus dengan baik dan terus berperanan sebagai medan melahirkan generasi berilmu, beriman serta berakhlak mulia,” katanya.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan