AM

Kapal Flotila Ke Gaza Diserang Dron Di Perairan Tunisia - GSF

09/09/2025 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Global Sumud Flotilla (GSF) mengesahkan sebuah daripada  kapal utamanya, iaitu Family Boat diserang dron di perairan wilayah Tunisia pada Isnin (waktu Tunisia).

Dalam kenyataan hari ini, menurut GSF pada waktu kejadian kapal berkenaan yang berdaftar di bawah bendera Portugal membawa anggota jawatankuasa pemandu. 

“Semua enam penumpang dan kru selamat. Bagaimanapun, berlaku kerosakan di dek utama serta ruang simpanan bawah dek kapal akibat terbakar,” menurut kenyataan itu.

Siasatan sedang dijalankan dan kemas kini akan dikongsi sebaik sahaja maklumat lanjut diperoleh.

Menurut GSF, tindakan yang bertujuan menakut-nakutkan itu sama sekali tidak akan menggagalkan misi dan melemahkan semangat kumpulan berkenaan.

“Misi aman itu bertujuan memecahkan kepungan di Gaza dan kami sentiasa berdiri teguh bersama penduduk Gaza dan misi akan diteruskan dengan tekad yang tidak berbelah-bahagi,” menurut kenyataan itu.

Misi kemanusiaan GSF melibatkan lebih 1,000 aktivis dari 44 negara, dengan lebih 50 kapal flotila yang membawa bantuan kemanusiaan, ubat-ubatan dan makanan untuk penduduk Gaza sebagai sebahagian usaha memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah itu.

Sementara itu, aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM Malaysia) Zulfadhli Khiruddin berkata serangan dron berkenaan disaksikan oleh beberapa orang yang berada di tempat kejadian.

“Kelihatan ada satu serangan bebola api datang dan menghasilkan kerosakan di satu daripada kapal utama, iaitu kapal keluarga atau dikenali sebagai kapal Madeira, yang membawa jawatankuasa,” katanya menerusi video berdurasi dua minit yang dikongsikan melalui aplikasi Telegram, hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kumpulan itu masih menyiasat dalang serangan berkenaan dan mereka dinasihatkan bertenang serta tidak membuat sebarang spekulasi. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan