KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan ancaman terhadap fasiliti gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak diterima melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada nombor telefon yang berdaftar di negara jiran, Indonesia.
Beliau berkata susulan ancaman yang diterima oleh seorang petugas Petronas di Bintulu itu, kerajaan telah meningkatkan kawalan keselamatan di fasiliti LNG di Sarawak dan Sabah.
“Saya dimaklumkan bahawa ada yang menerima SMS ugutan dan ugutan itu datangnya daripada telefon yang menggunakan nombor berdaftar di Indonesia.
“Tapi siap? (Itu) polis masih membuat siasatan, jadi sebagai langkah berjaga-jaga Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan (arahan) untuk meningkatkan kawalan keselamatan kerana kita tak tahu sama ada akan berlaku di LNG di Bintulu ataupun di Sabah, sebab (ugutan) hanya menyatakan mengenai LNG,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan di sini hari ini.
Fadillah berkata ancaman tersebut berkait permintaan tertentu daripada pengirim dan apabila tidak menerima maklum balas, individu tersebut mengugut untuk membakar kemudahan LNG negara.
“Dia minta menjawab sesuatu tapi sebab tak ada respons, dia mengugut untuk membakar LNG kita tapi tak tahu yang mana satu,” katanya.
Semalam MKN dalam kenyataan memaklumkan kerajaan mengarahkan semua fasiliti LNG atau gas asli cecair di Bintulu, untuk memperketat kawalan keselamatan serta-merta susulan ancaman keselamatan terhadap fasiliti berkenaan.
Langkah itu bagi membolehkan pihak keselamatan dan agensi berkaitan melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman itu.
"Orang ramai diingatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi terhadap kenyataan ini. Perkembangan mengenai situasi berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.
Awal hari ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG milik Petronas diperketatkan serta-merta susulan ugutan diterima seorang pegawainya di Bintulu.
Beliau berkata pegawai terbabit menerima ugutan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada individu tidak dikenali sebelum membuat laporan polis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial