EKONOMI

Institusi Tempatan Teruskan Aliran Belian Dengan Belian Bersih RM148.6 Juta - MBSB IB

08/09/2025 11:43 AM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keenam berturut-turut di Bursa Malaysia, mencatatkan belian ekuiti bersih sebanyak RM148.6 juta pada minggu dagangan yang singkat berakhir pada 4 Sept 2025, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Menurut bank pelaburan itu dalam Laporan Aliran Dana mingguannya, pelabur runcit tempatan turut meneruskan aliran belian mereka untuk minggu kedua berturut-turut, dengan belian bersih sebanyak RM38.9 juta.

Sementara itu, pelabur asing meneruskan aliran jualan mereka kepada sembilan minggu berturut-turut, walaupun aliran keluar bersih merosot kepada RM187.6 juta daripada RM1.41 bilion pada minggu sebelumnya.

“Angka lebih rendah itu sebahagian besarnya berikutan minggu dagangan yang singkat, dengan pasaran ditutup pada Isnin dan Jumaat sempena cuti umum,” menurut MBSB IB.

Katanya pelabur asing merupakan penjual bersih pada dua daripada tiga hari dagangan. Satu-satunya hari yang mencatatkan aliran masuk ialah Rabu sebanyak RM173.2 juta manakala aliran keluar tertinggi pada Selasa sebanyak RM251.5 juta, diikuti Khamis sebanyak RM109.3 juta.

Mengikut sektor, aliran masuk asing bersih terbesar adalah dalam pembinaan (RM135.3 juta), pengangkutan dan logistik (RM41.5 juta) dan penjagaan kesihatan (RM38.9 juta).

Aliran keluar terbesar adalah dalam perkhidmatan kewangan (-RM417.1 juta), telekomunikasi dan media (-RM43.1 juta) dan utiliti (-RM35.9 juta).

Purata jumlah dagangan harian merosot dalam semua kumpulan pelabur. Pelabur runcit dan institusi tempatan, masing-masing menyaksikan penurunan sebanyak 15.7 peratus dan 17.5 peratus manakala pelabur asing mencatatkan penguncupan lebih ketara sebanyak 42.2 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan