AM

Laluan Lintasan Hidupan Liar Pertama Di Johor Dibina Di Jalan Kahang-Mersing

05/09/2025 05:06 PM

JOHOR BAHRU, 5 Sept (Bernama) -- Laluan lintasan hidupan liar pertama di Johor bakal dibina di Jalan Persekutuan FT50 yang menghubungkan Kahang, Kluang ke Mersing dalam usaha melindungi haiwan berkenaan sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tiang Soon berkata projek membabitkan kos keseluruhan RM66 juta itu meliputi kajian awal tanah, geologi, reka bentuk, pemindahan infrastruktur, pembinaan jalan sementara dan jejambat. 

Beliau berkata proses tender selesai dilaksanakan dan kerja pembersihan pokok di tepi jalan juga telah bermula, dan projek itu dijangka siap pada Februari 2028.

"Jalan yang terletak di kawasan sempadan Hutan Simpan Labis ke Mersing serta Hutan Simpan Panti dan Kota Tinggi atau dikenali sebagai ‘ Central Forest Spine’ (CFS) ini, sering menjadi laluan hidupan liar yang bergerak antara kedua-dua kawasan hutan.

"Kawasan hutan seluas 31,000 hektar ini juga merupakan habitat penting bagi hidupan liar malah beberapa rakaman video memaparkan haiwan seperti Harimau Malaya, gajah, tapir Malaya dan harimau bintang melintas kawasan tersebut pernah tular sebelum ini," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Selain itu, Ling berkata terdapat insiden kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan melanggar haiwan liar, justeru pihak berkuasa berpendapat pembinaan laluan khas ini perlu bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta hidupan liar. 

Mengulas lanjut, beliau berkata projek menaik taraf jalan sejauh 1.2 kilometer itu merangkumi pembinaan jejambat setinggi lapan meter dan panjang 200 meter, selain pihak berkuasa akan menanam tumbuhan khas di bawah jejambat berkenaan bagi menarik serta 'memandu' hidupan liar menyeberangi jalan melalui laluan tersebut.

"Hidupan liar merupakan komponen penting dalam ekosistem semula jadi malah menjadi antara sumber alam yang diberi tumpuan untuk dilindungi di Johor. 

"Oleh itu kerajaan negeri akan terus menggerakkan pelbagai projek pemuliharaan ekologi semula jadi melalui jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan Johor mampu mengekalkan keseimbangan ekosistem semula jadi meskipun sedang pesat membangun dari segi ekonomi," katanya. 

Semalam, Ling turun padang melawat projek berkenaan yang turut dihadiri Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah serta agensi terlibat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan