EKONOMI

Malaysia Sasar Jadi Antara 20 Ekonomi Teratas AI Menjelang 2030 - Chang

29/08/2025 01:32 AM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk menjadi antara 20 ekonomi teratas dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di dunia menjelang 2030 melalui Pelan Hala Tuju AI Negara 2021-2025 dengan sumbangan melebihi RM60 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dalam kenyataan hari ini berkata, AI bukan lagi sekadar teknologi tetapi merupakan keperluan nasional bagi masa depan ekonomi Malaysia.

Katanya, bagi menyokong matlamat ini, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melancarkan MRANTI AI Connect 2025 hari ini iaitu forum inovasi AI nasional serta inisiatif di bawah Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS).

Menurutnya, inisiatif berkenaan merangkumi program terstruktur seperti pemadanan masalah dan penyelesaian, pembangunan projek perintis serta sokongan pengkomersialan untuk mempercepatkan penggunaan penyelesaian AI di seluruh negara.

Dianjurkan dengan kerjasama SPARK oleh CIO Academy Asia, jelas Chang, inisiatif ini mempercepatkan penggunaan AI dalam pelbagai industri, menghubungkan inovator Malaysia dengan pemimpin teknologi global serta mengukuhkan hasrat Malaysia untuk berada dalam kalangan 20 ekonomi AI teratas menjelang 2030.

“Sejak 2020, NTIS menyokong lebih daripada 220 projek, mengkomersialkan 77 teknologi dan menjana nilai sebanyak RM157 juta.

“Berdasarkan momentum ini, MRANTI AI Connect 2025 akan mengukuhkan saluran inovasi kita, memupuk bakat dan memperluaskan infrastruktur yang akan memacu daya saing Malaysia di peringkat global,” kata Chang.

Diadakan di MRANTI Park, forum ini mengumpulkan agensi kerajaan, pemimpin korporat, penyelidik, pelabur, syarikat pemula niaga serta syarikat teknologi global termasuk NVIDIA, AWS, Microsoft, dan Google.

Sementara itu, Pengerusi MRANTI Prof Dr Rofina Yasmin Othman berkata MRANTI AI Connect 2025 direka untuk memberikan hasil segera serta impak jangka panjang.

“Melalui forum ini, kami berusaha melahirkan 50 graduan yang ditaja dan diiktiraf sebagai pakar AI serta boleh diakses melalui platform MATCH oleh korporat, syarikat pemula niaga dan agensi kerajaan.

“Kami juga menjangkakan untuk melibatkan lebih 30 korporat melalui jaringan dan pemadanan yang terancang serta mengintegrasikan penyelesaian AI ke dalam industri utama Malaysia,” katanya.

Beliau menambah forum ini merupakan inisiatif berterusan di bawah NTIS yang mengukuhkan kesiapsiagaan Malaysia dalam bidang AI, memastikan inovator Malaysia berdaya saing di peringkat global serta meletakkan negara sebagai pembina dan pengeksport penyelesaian berasaskan AI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan