KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Satu pasukan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan dua pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dinobatkan sebagai pemenang cabaran Hotlink Uni Legends 2025, platform yang direka untuk memperkasakan pelajar universiti di Malaysia bagi merealisasikan idea acara impian mereka.
Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemenang ialah pasukan Gegaqsters daripada USM dengan cadangan festival yang menggabungkan konsert muzik, forum belia dan pertandingan sukan manakala JPS UiTM Jasin, Melaka menerusi idea karnival sukan dan aktiviti luar untuk semua peringkat umur.
Satu lagi pemenang ialah pasukan Jawatankuasa Perwakilan Kolej sesi 2024/2025, UiTM Kota Kinabalu, Sabah yang merancang untuk menganjurkan festival selama dua minggu dengan pengisian pelbagai aktiviti.
Menurut Maxis, tiga pasukan yang menang dalam cabaran yang terbuka kepada pelajar dari 20 universiti awam itu, akan menerima pembiayaan penuh untuk melaksanakan idea acara impian mereka pada suku keempat tahun ini.
Cabaran itu mempelawa cadangan acara yang mampu menarik lebih 5,000 peserta dengan kemasukan percuma untuk semua.
“Para pelajar digalakkan untuk berfikiran luas dan beraspirasi tinggi sambil mengasah kemahiran dalam perancangan, kerja berpasukan dan penglibatan komuniti," menurut kenyataan itu hari ini.
Selepas dua bulan persaingan sengit dalam penghantaran cadangan, 10 pasukan telah disenarai pendek dan diundang untuk membentangkan idea mereka dalam sesi langsung akhir yang diadakan baru-baru ini di Menara Maxis.
Menurut kenyataan itu, cadangan mereka dinilai oleh panel juri daripada pemimpin industri dan individu kreatif, berdasarkan kebolehlaksanaan, potensi capaian, impak terhadap kehidupan kampus serta keberkesanan dalam melibatkan dan memberikan manfaat kepada komuniti pelajar.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna Maxis Loh Keh Jiat berkata Hotlink Uni Legends ialah cara Maxis membuka ruang kepada generasi muda untuk menerajui, bekerjasama dan merealisasikan semangat pasti mampu dalam menjayakan idea-idea hebat.
“Kami berbesar hati bekerjasama rapat dengan pasukan pemenang dalam merealisasikan acara impian mereka yang bukan sahaja akan memperkaya pengalaman universiti mereka, tetapi juga rakan-rakan pelajar di seluruh kampus,” katanya.
Sementara itu, Maxis memaklumkan Hotlink yang menawarkan nilai terbesar pada harga terendah kepada pengguna yang bijak berbelanja melalui pelan Pasti Mampu prabayar dan pascabayar merupakan pendorong kepada penganjuran Hotlink Uni Legends itu.
“Semangat pasti mampu ini juga mendorong penganjuran Hotlink Uni Legends, satu inisiatif pemerkasaan belia yang kini memasuki tahun kedua selepas edisi sulung pada 2024 yang memberikan tumpuan kepada e-sukan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial