AM

Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025

28/08/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 bertujuan memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan.

RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 125 Ahli Parlimen bersetuju, 63 tidak bersetuju, seorang tidak mengundi dan 32 tidak hadir.

Bagaimanapun, Ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan keputusan yang diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul itu dengan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran)  membangkitkan RUU baharu itu sepatutnya dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas terlebih dahulu mengikut Peraturan 80B Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.

Johari kemudian berkata jawatankuasa itu perlu menulis kepada kementerian yang akan memasukkan apa juga rang undang-undang bagi tujuan itu.

"Selepas sahaja pembacaan pertama, (sila) tulis kami (Jawatankuasa Pilihan Khas) mahukan rang undang-undang dirujuk kepada kami, tetapi saya sudah semak bahawa tidak ada permohonan untuk jawatankuasa minta dirujuk,” katanya.

Pihak pembangkang yang masih tidak berpuas hati kemudian bertindak keluar dari dewan diketuai Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut).

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kedua berkata Kerajaan MADANI melakukan satu lagi reformasi besar yang tidak berani atau sanggup dilaksanakan pentadbiran terdahulu menerusi pembentangan RUU Perolehan Kerajaan 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata menerusi RUU itu, semak dan imbang diperkukuh dengan keputusan perolehan termasuk keputusan Menteri Kewangan boleh dicabar dan dikaji semula menerusi proses Panel Kajian Semula dan seterusnya Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali.

Perdana Menteri berkata RUU Perolehan Kerajaan juga memperkenalkan tindakan punitif atas ketidakpatuhan perolehan dan Menteri Kewangan tidak terkecuali atas kesalahan yang diperuntukkan dalam RUU itu.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan