EKONOMI

Malakoff Rai Ulang Tahun Ke-50 Teraju Penjanaan Kuasa Malaysia

28/08/2025 10:22 AM

Oleh K.Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, Aug 28 (Bernama) -- Daripada langkah pertamanya dalam industri kuasa Malaysia untuk menjadi Penjana Kuasa Bebas (IPP) terbesar negara, Malakoff Corporation Bhd kini memasuki tahun ke-50 operasinya pada 2025  dan menjadi antara pemain utama dalam peralihan tenaga.

Hari ini, syarikat itu sedang menjalani anjakan penting untuk meletakkannya kembali sebagai organisasi yang berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan tumpuan kepada tenaga bersih dan tenaga boleh baharu serta penyelesaian alam sekitar yang mampan.

Transformasi ini jelas mencerminkan komitmen Malakoff untuk membentuk masa depan yang lebih mesra alam seiring perkembangan selama lima dekad. 

Dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang melakarkan laluan Malaysia ke arah pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih-sifar menjelang 2050, Malakoff dan sektor kuasa yang lebih meluas perlu mengimbangi jaminan tenaga dengan usaha mendesak untuk usaha penyahkarbonan.

 

Peralihan kepada Penyahkarbonan dan Pertumbuhan Tenaga Bersih 

Menerusi satu temu bual eksklusif bersama Bernama, naib presiden kanan bahagian penjanaan tempatan Malakoff, Mohd Kopli Yunus berkata masa depan sektor tenaga Malaysia bergantung kepada dua peralihan ini.

Menurutnya, satu bahagian membabitkan usaha menaik taraf stesen janakuasa sedia ada agar lebih bersih dan fleksibel, manakala satu lagi memfokuskan kepada mempercepatkan pelaburan dalam teknologi boleh diperbaharui dan inovatif.

"Stesen janakuasa tradisional tidak akan lenyap tetapi akan berkembang menjadi kemudahan yang lebih bersih dan lebih mudah disesuaikan. Stesen janakuasa yang menggunakan arang batu akan diubah suai atau dipasang semula untuk mengurangkan pelepasan, manakala gas akan berfungsi sebagai sumber sokongan dan pengimbang, ketika tenaga boleh baharu terus berkembang.

“Diharap kerajaan akan dapat membangunkan mekanisme untuk menyokong inisiatif ini, khususnya dalam mengubah stesen janakuasa arang batu tradisional kepada sumber tenaga yang lebih hijau,” katanya.

Mohd Kopli berkata stesen janakuasa arang batu boleh dipasang semula dengan teknologi pengurangan karbon seperti pembakaran bersama biojisim dan Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

Manakala janakuasa yang menggunakan gas mungkin terus memainkan peranan dalam memastikan kestabilan grid dengan berkembang menjadi unit puncak atau akhirnya mengintegrasikan hidrogen.

“Penjanaan tenaga akan beralih daripada sistem terpusat kepada sistem terdesentralisasi, dengan loji arang batu dan gas yang besar secara beransur-ansur memberi laluan kepada grid yang lebih teragih dan fleksibel yang dipacu oleh ladang solar, fotovoltaik (PV) di bumbung, hidro kecil, biojisim, penyimpanan bateri dan mikrogrid,” katanya.

 

Menangani Cabaran Peralihan Tenaga 

Mohd Kopli mengingatkan bahawa walaupun NETR melakarkan laluan bagi masa depan, kemajuan peralihan perlu diuruskan dengan teliti.

“Memandangkan Malaysia secara beransur-ansur mengurangkan pergantungannya terhadap janakuasa terma, kita mesti menilai dengan teliti implikasi peralihan ini.

"Loji terma pada masa ini menyediakan kuasa beban asas yang stabil, dan menghentikannya secara berperingkat terlalu cepat tanpa simpanan yang mencukupi atau kapasiti boleh diperbaharui yang kukuh boleh menyebabkan ketidakstabilan grid atau jurang bekalan," katanya.

Beliau menegaskan bahawa peralihan itu perlu realistik, inklusif dan dipacu teknologi untuk memastikan "trilema tenaga" yang mengimbangi kemampanan, kemampuan dan jaminan, ditangani dengan betul.

 

Kerjaya Dibentuk oleh Tenaga

Selama tiga dekad bersama Malakoff, Mohd Kopli mengimbas kembali detik utama dalam kerjayanya pada 2004, apabila syarikat itu memperoleh dan menyediakan kontrak perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan bagi Kemudahan Utiliti Berpusat Petronas.

"Kerja berpasukan yang padu adalah kunci kejayaan projek itu, dan ia memberi inspirasi kepada saya sepanjang kerjaya saya," katanya.

Beliau berkata perjalanan kerjayanya mencerminkan transformasi Malakoff daripada pembina janakuasa beban asas berskala besar kepada sebuah syarikat yang kini menyesuaikan peranannya untuk mencapai penggunaan rendah karbon pada masa depan. 

 

Kepakaran Melangkaui Sempadan

Mohd Kopli juga percaya kepakaran Malakoff boleh melangkaui Malaysia, memanfaatkan peluang serantau dan global.

“Kekuatan Malakoff dalam operasi stesen janakuasa, perkhidmatan alam sekitar dan penyahgaraman boleh dieksport ke pasaran membangun di ASEAN, Asia Selatan dan Timur Tengah, yang mencatatkan peningkatan dalam permintaan tenaga.

"Dengan perkongsian dan pembiayaan yang betul, boleh meletakkan Malakoff sebagai penyedia penyelesaian tenaga serantau," katanya.

 

Memberi Inspirasi kepada Generasi Seterusnya

Dalam usaha menarik golongan muda untuk menceburi industri tenaga Mohd Kopli menitipkan kata-kata semangat untuk memberi galakan kepada mereka. 

"Cahaya hari esok akan dikuasakan bukan sahaja oleh teknologi, tetapi oleh tujuan, visi dan keberanian anda. Sertai, terajui dan bina masa depan bagi dunia yang anda dambakan," katanya.

Ketika Malakoff memperingati ulang tahunnya yang ke-50, syarikat itu mengamanahkan generasi jurutera dan profesional tenaga pada masa akan datang untuk mempertahankan legasi inovasi, daya tahan dan kemampanannya dalam membentuk masa depan industri tenaga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan