KUCHING, 27 Ogos (Bernama) -- Jabatan Hutan Sarawak (FDS) menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan syarikat Finland, Arbonaut Ltd yang merupakan firma terkemuka antarabangsa dalam bidang perhutanan dan teknologi.
FDS dalam kenyataan hari ini memaklumkan delegasi Sarawak yang diketuai Pengarahnya Datuk Hamden Mohammad telah memeterai kedua-dua memorandum itu dalam satu majlis di Taman Sains Joensuu, Finland semalam.
Menurut FDS, di bawah MOA berkenaan, Arbonaut Ltd telah dilantik sebagai perunding bagi projek "Mengkuantifikasi Dinamik Struktur Tegakan dan Produktiviti dalam Hutan Semula Jadi serta Hutan Tanaman Menggunakan Sistem Julat 3D Udara".
“Projek ini dijangka menambah nilai kepada pengurusan hutan menerusi penggunaan teknologi 3D LiDAR untuk mengukur struktur hutan, dinamik pertumbuhan dan produktiviti dalam hutan semula jadi serta ladang pokok industri.
“Ia juga akan menyediakan parameter inventori hutan yang lebih tepat, termasuk ketinggian pokok, isipadu, biojisim, simpanan karbon serta penilaian risiko kebakaran hutan,” menurut kenyataan itu.
FDS turut menandatangani MOU selama lima tahun dengan Arbonaut Ltd yang merangkumi kerjasama dalam bidang utama termasuk penilaian karbon hutan, pembangunan dan perdagangan projek karbon serta penyelidikan bersama dalam bidang biodiversiti, hasil hutan, pengurusan kebakaran, sains tanah dan patologi.
Hamden berkata pemeteraian MOA dan MOU ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang perhutanan.
“Kerjasama ini membuka peluang besar dalam teknologi perhutanan, khususnya dalam bidang karbon untuk menyokong matlamat iklim dan pengurusan hutan secara mampan,” katanya.
Delegasi FDS turut dijadualkan mengadakan lawatan penanda aras ke beberapa lokasi termasuk Syarikat John Deere dan Pusat Hutan Finland.
Lawatan berkenaan memberi tumpuan kepada perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi berkaitan penggunaan teknologi LiDAR dalam jentera penuaian hutan serta pemetaan data LiDAR beresolusi tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial