GEORGE TOWN, 27 Ogos (Bernama) -- Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) sangat penting dalam usaha membangunkan semula kawasan kediaman usang di bandar, khususnya di negeri-negeri maju, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Beliau yang menyatakan sokongan terhadap RUU itu, berkata undang-undang berkenaan berupaya menangani masalah pembangunan semula bangunan lama berusia lebih 50 tahun dan dibina dalam keadaan yang tidak lagi sesuai dari segi saiz serta kemudahan.
“Apakah alternatif kalau tidak dibangunkan semula 50 tahun menjadi 100 tahun, bayangkan keadaan flat yang sedemikian. Adakah anda mahu duduk dalam flat 400 kaki persegi untuk 50 tahun lagi, itulah soalan yang perlu (dibangkitkan).
“(Projek flat) Mahsuri Bayan Baru di sini adalah antara contoh PSB tanpa undang-undang tersebut tetapi dengan akta ia boleh mengatasi rintangan sebab tidak perlu 100 peratus threshold (persetujuan pemilik), 80 peratus sudah mencukupi untuk membangunkan semula projek berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Lift-Off With Penang Silicon Design @5km+ (PSD@5km+) di sini hari ini.
Mengulas dakwaan bahawa PSB akan mengurangkan kuasa kerajaan negeri dan memberi lebih kuasa kepada kerajaan Persekutuan, Chow menjelaskan bahawa apabila sesuatu pembangunan telah mendapat hak milik strata, keputusan pembangunan semula adalah hak milik individu, bukan lagi pemaju atau kerajaan negeri.
Pada 19 Ogos lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata bacaan kedua dan ketiga RUU berkenaan dijadualkan pada 28 Ogos (esok) sekali gus menandakan hala tuju baharu dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial