JOHOR BAHRU, 27 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib terhadap beberapa pegawai Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berhubung pelanggaran prosedur kelulusan permohonan pindah milik, pindah pangkalan dan ubah suai sebuah vesel pukat tunda di Johor.
EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima aduan bahawa lima vesel pukat tunda diluluskan tanpa mematuhi Dasar Penghapusan Pukat Tunda yang ditetapkan kerajaan, sebelum siasatan dijalankan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
“Hasil siasatan mendapati terdapat pelanggaran prosedur dalam proses kelulusan oleh DOF terhadap satu daripada lima buah vesel yang disiasat, membabitkan permohonan pindah milik, pindah pangkalan dan/atau ubah suai.
“Pelanggaran ini menjejaskan usaha kerajaan menguatkuasakan Dasar Penghapusan Pukat Tunda secara berkesan dan boleh menimbulkan implikasi serius terhadap pengurusan sumber perikanan negara,” menurut kenyataan itu.
EAIC memaklumkan pihaknya memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF dengan syor tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai terlibat di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] atas kesalahan ingkar perintah sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial