SEREMBAN, 25 Ogos (Bernama) -- Ancaman buli, penderaan serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja perlu ditangani secara tegas dengan penglibatan semua pihak termasuk institusi pendidikan, komuniti dan keluarga, titah Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.
Baginda yang juga Pengerusi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi bertitah meskipun pelbagai program dijalankan Kementerian Pendidikan dan agensi kerajaan lain tetapi masalah berkenaan masih membimbangkan kerana belum menunjukkan keberkesanan sepenuhnya.
Tunku Zain Al-’Abidin bertitah jenayah seperti itu bukanlah isu baharu, namun cabaran dunia moden seperti media sosial, tekanan rakan sebaya serta kecuaian masyarakat menjadikan kes itu semakin berleluasa.
“Justeru, saya mencadangkan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan termasuk KPM terus menyemarakkan kempen dan memperkukuh ‘Amalan Sekolah Sejahtera’ di semua peringkat serta pelbagai program untuk menanam perasaan benci terhadap buli, penderaan dan jenayah seksual ke akar umbi.
“Ramai mangsa khususnya kanak-kanak dan remaja tidak tahu cara untuk bersuara dan takut untuk melaporkan apa yang dialami. Hari ini kita berkumpul bukan sekadar berkempen tetapi menyuarakan kebenaran dan menyeru masyarakat menghentikan penderitaan ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berucap menyempurnakan Kempen Jenayah Buli Penderaan dan Jenayah Seksual Peringkat Negeri Sembilan, yang turut dihadiri Presiden IKON Malaysia Mia Nurhamizah Abdul Ghapar, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Shamsudin Redza dan Pengarah Penjara Negeri Sembilan Ahmad Mustaqim Che Bisi di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Program yang julung kali diadakan itu adalah anjuran Pertubuhan IKON Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Negeri Sembilan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, Presiden IKON Malaysia Mia Nurhamizah berkata pihaknya komited dalam memperjuangkan undang-undang yang lebih tegas terhadap pelaku jenayah serta menambah baik sistem perlindungan mangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial