GEORGE TOWN, 25 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui kealpaan pemain menjadi punca skuad kendaliannya tewas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC, pada aksi Liga Super malam tadi.
Beliau berkata meskipun pemain telah mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan, namun kelekaan semasa bertahan menyebabkan pasukannya dihukum dengan dua jaringan mudah.
Beliau berkata gol kedua yang berpunca daripada situasi bola mati sepatutnya boleh dipatahkan sekiranya pemain lebih fokus dan cepat menutup ruang lawan.
“Mungkin berlaku pelanggaran ketika penjaga gol membuat clearance, tetapi pengadil tidak mengiranya sebagai foul dan pemain saya pula berhenti seolah-olah menunggu wisel, sedangkan mereka sepatutnya terus bermain.
“Akibatnya, pemain lawan sempat melepaskan rembatan jarak jauh kira-kira 30 meter tanpa sebarang halangan. Gol seperti ini sebenarnya boleh dielakkan jika pemain lebih fokus,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi.
Meskipun kecewa dengan dua kekalahan berturut-turut di tempat sendiri, Wan Rohaimi tetap berpuas hati dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan dan yakin skuad Harimau Kumbang mampu bangkit ketika berdepan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC pada 30 Ogos ini.
Dalam pada itu, Wan Rohaimi turut memuji persembahan mantap pertahanan muda Mohammad Khairul Akmal Rukisham, sebelum beliau diusung keluar berikutan kecederaan akibat pertembungan dengan pemain lawan.
Pengendali berusia 49 tahun itu turut mengakui ketajaman jentera serangan masih perlu diperbaiki apabila hanya penyerang import Dylan Wenzel-Halls dan Stefano Brundo yang menyumbangkan gol setakat ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City FC Risto Vidakovic menyifatkan kemenangan malam tadi penting untuk mengembalikan keyakinan pemain, selepas kekalahan kepada Kelantan TRW dalam saingan pusingan pertama Piala FA, minggu lepas.
Beliau berkata pasukannya masih dalam proses pembentukan kerana pramusim bermula lewat selain kemasukan ramai pemain baharu tetapi menunjukkan perkembangan positif.
“Kita juga hilang dua mata dengan Sabah selepas gol pada minit-minit terakhir, tetapi perkara ini kita perlu lihat semula kerana kita akan bertemu PDRM FC dalam dua hari. Saya berharap kesemua pemain akan pulih semula sebelum perlawanan itu,” katanya.’
Perlawanan malam tadi menyaksikan Penang FC terus buntu mencari kemenangan pertama, apabila tewas 1-2 dengan jaringan tunggal tuan rumah dihasilkan kapten pasukan Stefano Brundo pada minit ke-48, manakala gol skuad warga kota disumbat Muhammad Safawi Rasid dan Mohamad Kamal Azizi masing-masing pada minit ke-34 dan 77.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial