AM

KPDN Laksana Sesi Libat Urus Tentukan Kadar APM

24/08/2025 05:40 PM

PAPAR, 24 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan sesi libat urus bersama persatuan yang berkaitan mengenai dasar penentuan harga runcit produk petroleum dan kadar Mekanisme Harga Automatik (APM).

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata hasil libat urus itu, segala cadangan dan syor akan dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dalam masa terdekat.

“KPDN sedia maklum berhubung permohonan dan rayuan daripada syarikat serta pengusaha stesen minyak untuk dibuat semakan kadar APM.

“Sebaik sahaja kerajaan memutuskan dasar dan mekanisme penyasaran subsidi RON95, kita yakin agensi pusat iaitu MOF mempertimbangkan kadar baharu APM,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kit Jalur Gemilang (kluster industri) dan pelancaran kempen Love Local di Stesen Minyak Petronas di sini hari ini.

Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar, berkata KPDN bertanggungjawab memastikan bekalan petrol serta diesel sentiasa mencukupi dan produk petroleum dapat dinikmati oleh golongan sasar.

Media sebelum ini melaporkan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda) dan Persatuan Pengusaha Minyak Malaysia memohon agar semakan semula margin pada APM dan Kadar Diskaun Pedagang dilakukan.

Armizan juga berkata sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, KPDN turut menjayakan kempen Kibar Jalur Gemilang di semua 4,320 stesen minyak PETRONAS di seluruh negara sebagai sebahagian daripada inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.

Beliau berkata pada masa sama, PETRONAS melaksanakan kempen Love Local bermula 25 Ogos hingga 30 Sept untuk menyokong kempen beli barangan Malaysia yang diselaras oleh KPDN untuk menggalakkan produk keluaran usahawan tempatan.

Armizan berkata KPDN amat menghargai komitmen PETRONAS dalam mendukung agenda memajukan 

perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penjualan produk keluaran tempatan di lebih 850 premis rangkaian Kedai Mesra seluruh negara termasuk 50 di Sabah.

“Setakat ini, Kedai Mesra mempunyai 1,842 pembekal produk tempatan dan hasil jualan produk PMKS di rangkaian Kedai Mesra juga terus mencatatkan momentum peningkatan dari tahun ke tahun melebihi RM150

juta,” katanya.

-- BERNAMA

 

       


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan