AM

Hampir 3,000 Pengunjung Meriahkan Hari Terbuka IYC

24/08/2025 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Hampir 3,000 orang mengunjungi Hari Terbuka IYC anjuran Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-37 agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan itu. 

Penganjuran hari terbuka itu bertujuan mempromosikan kemudahan yang ditawarkan IYC, mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia dan mempromosikan aktiviti kesihatan dan kecergasan.

Ketua Bahagian Program IYC Jadzreill Jaafar berkata pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung yang hadir bermula dari 8 pagi hingga 6 petang.

"Kami mengadakan pertandingan IYC's Got Talent untuk platform kepada bakat muda, selain pertandingan e-sukan, memanjat tembok tiruan serta pertandingan mewarna dan melukis untuk kanak-kanak sekolah," katanya ketika ditemui Bernama di Yayasan IYC, Bandar Tun Razak di sini hari ini. 

Beliau berkata deretan trak makanan serta gerai makanan dan minuman yang menawarkan pelbagai pilihan menarik juga disediakan kepada pengunjung selain reruai agensi kerajaan, swasta dan NGO serta saringan pergigian.

"Sepanjang tahun ini, kita akan adakan banyak program lagi, maka kita minta sokongan daripada semua lapisan masyarakat untuk datang dan gunakan sepenuhnya kemudahan di IYC ini. Hendak datang untuk belajar atau lepak tiada masalah, kami sentiasa terbuka," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati peserta yang terlibat dengan aktiviti seperti pertandingan aerobikton mengenakan pakaian bermotifkan Jalur Gemilang dan menampilkan persembahan bertenaga serta penuh kreativiti.

Bagi Siti Jahibah Abdul Jais yang juga guru di sebuah sekolah menengah di Hulu Langat, program seperti itu platform terbaik untuk mengetengahkan produk buatan inovasi guru dan pelajar.

Beliau yang hadir bersama guru dan beberapa pelajar mempromosikan kraf tangan gubahan bunga dibuat daripada bahan-bahan semula jadi seperti buah pelaga, buah pinang serta kulit kacang pistasio.

“Selain mempromosikan kraf tangan bagi menjana pendapatan untuk pihak sekolah, program ini juga dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang penggunaan bahan-bahan ini dan juga dapat meningkatkan kemahiran pelajar,” katanya. 

Pelajar sekolah Mel Husayn Bat Abdullah,16, pula berkata beliau dan rakan-rakan teruja kerana dapat mewakili sekolah untuk bermain alat muzik dalam pertandingan serlahkan bakat.

“Kami datang hendak menang, tapi kami seronok juga sebab macam-macam aktiviti yang ada hari ini. Banyak juga gerai makanan dan saya nampak ada juga gerai yang jual donut bomboloni, itu kegemaran saya,” katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan