JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Buru Wanita Miliki Dua Kad Pengenalan, Disyaki Dalang Sindiket Dadah Di Kelantan

24/08/2025 03:23 PM

KOTA BHARU, 24 Ogos (Bernama) -- Polis Kelantan sedang mengesan seorang wanita dipercayai memilik dua kad pengenalan Malaysia dan Thailand, susulan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire miliknya disita dalam operasi di Sungai Golok, minggu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 30-an itu dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan dadah di sempadan serta dikatakan berkahwin dengan seorang lelaki warga Thailand.

“Kes seumpama ini sering melibatkan individu mempunyai dua identiti. Hasil semakan nombor kenderaan di Malaysia dan maklumat daripada pihak berkuasa Thailand mengesahkan suspek memiliki kad pengenalan sah di kedua-dua negara.

“Agak sukar untuk mengesan suspek kerana dia mempunyai dua kad pengenalan. Jika ditahan di Thailand, suspek boleh menggunakan kad pengenalan Thailand manakala jika ditahan di Malaysia, suspek boleh menggunakan kad pengenalan Malaysia, sekali gus menyukarkan penentuan status kewarganegaraannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

“Polis sedang memburunya. Kes tangkapan dadah berlaku di Golok, Thailand dan wanita terbabit disyaki ahli sindiket penyeludupan dadah,” katanya.

Mohd Yusoff berkata polis juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam kes berkenaan.

Beliau berkata wanita berkenaan akan dimasukkan dalam senarai dikehendaki polis dan usaha mengesannya dijalankan bersama pihak berkuasa Thailand.

Terdahulu, media melaporkan sebuah Toyota Vellfire bernombor plat pendaftaran Malaysia antara 13 aset yang disita dalam operasi besar-besaran menumpaskan sindiket penyeludupan dadah di sempadan minggu lepas.

Sementara itu, sebanyak 153 pangkalan haram di tanah kerajaan negeri telah dikenal pasti Pejabat Tanah dan Galian Kelantan untuk dirobohkan.

Beliau berkata operasi perobohan akan dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan selepas notis peringatan dikeluarkan kepada pengguna dalam tempoh sebulan.

“Jika terbukti berlaku vandalisme atau pencerobohan, tindakan undang-undang akan diambil. Polis tidak mahu sebarang provokasi berlaku, sama ada oleh penduduk tempatan mahupun sindiket penyeludupan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan