AM

Arwah Muhammad Danish Tidak Pernah Mengeluh Bantu Sara Keluarga - Ibu

23/08/2025 08:58 PM

BANTING, 23 Ogos (Bernama) -- Seorang daripada remaja yang maut dalam nahas di Jalan Sultan Sulaiman Shah di sini awal pagi tadi, Muhammad Danish Shamsul Shahrizan, 16, banyak membantu menyara keluarga selepas bapanya terlantar sakit.

Ibu remaja itu Roszainida Hassan, 40, berkata Allahyarham tidak pernah mengeluh mencari pendapatan sampingan sejurus tamat waktu persekolahan demi menampung keperluan keluarga berikutan masalah kesihatan yang menimpa suaminya, Shamsul Shahrizan Salam, 43.

Beliau berkata ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, keluarganya sekali lagi diuji pada tahun lepas apabila seorang lagi anaknya Nur Danisha, 14, disahkan menghidap kanser rahim dan memerlukan kos rawatan yang agak tinggi.

"Saya saksikan arwah berusaha mencari duit dengan melakukan pelbagai jenis kerja untuk membantu keluarga termasuk membayar sewa rumah. Dua tahun kemudian, bebanan bertambah apabila anak perempuan saya pula disahkan menghidap kanser.

"Semalam, arwah memberitahu dia mahu keluar bersama rakan-rakan untuk membaiki motosikal di sebuah bengkel pada 10 malam dan akan memandu kereta suami saya. Tanpa mengesyaki apa-apa, saya hanya berpesan supaya berhati-hati," katanya kepada pemberita di pekarangan Hospital Banting di sini hari ini.

Roszainida berkata Muhammad Danish secara rela mahu menggalas tanggungjawab membantunya yang hanya berpendapatan RM2,000 sebulan sebagai penghantar murid sekolah.

Ibu kepada lima anak itu berkata dia juga perlu berulang-alik ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) untuk keperluan rawatan dan kemoterapi anak keduanya.

"Arwah pernah berhasrat berhenti sekolah sebab mahu mencari duit dan membantu mempercepatkan rawatan adiknya. Dia seorang anak yang baik dan sangat bertanggungjawab," katanya.

Terdahulu, media melaporkan empat remaja maut selepas kereta yang dinaiki mereka dipercayai terbabas di Jalan Sultan Sulaiman Shah di Kampung Chodoi, Banting, dekat sini awal pagi tadi.

Selain Muhammad Danish Shamsul Shahrizan, tiga lagi yang maut ialah Hariz Nazri, 19, Muhammad Adib Anuar, 16, dan Muhammad Danish Farhan Alias, 19.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata siasatan mendapati kemalangan kira-kira pukul 5 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Corolla dari arah Pantai Morib menghala ke Telok Panglima Garang dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan terbabas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan