JOHOR BAHRU, 23 Ogos (Bernama) -- Kementerian Digital melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak Kandungan Digital ASEAN (ADCS 2025) bertujuan meningkatkan ekonomi digital kreatif Asia Tenggara dan meletakkan Johor sebagai hab serantau industri itu.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini dari 2 hingga 4 September, ia anjuran bersama kerajaan negeri Johor di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang menghimpunkan lebih 50 pemikir global dan serantau, lebih 100 pempamer dan pembeli, serta pavilion lebih 10 buah negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil berkata sidang kemuncak itu akan bertindak sebagai pemangkin kepada ekonomi kreatif di rantau ini.
“ADCS 2025 bukan sekadar sidang kemuncak semata-mata, ia merupakan pencetus perubahan dan menandakan langkah berani Johor untuk muncul sebagai nadi kepada revolusi kandungan digital ASEAN.
“Dengan menghimpunkan para inovator, pencerita dan peneraju teknologi rantau ini, kami mengangkat Johor sebagai pusat permainan, animasi dan kandungan imersif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anuar berkata penganjuran sidang kemuncak itu di Johor Bahru berlatarkan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), menekankan peranan Johor yang semakin meningkat sebagai hab bagi industri kreatif dan kerjasama rentas sempadan.
“Dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 sebagai kelebihan strategik kita dan JS-SEZ sebagai platform permulaan, Johor berada pada kedudukan terbaik untuk menarik pelaburan, membangunkan bakat bertaraf dunia serta memacu kerjasama yang akan mengangkat ekonomi kreatif ASEAN ke peringkat global,” katanya.
Sidang kemuncak itu bermula pada 2 September dengan Meja Bulat ASEAN, iaitu dialog berprofil tinggi untuk memperkukuh kerjasama antara negara anggota ASEAN dalam bidang animasi, permainan dan teknologi kreatif, sekali gus mengukuhkan kedudukan rantau ini sebagai hab kreatif global.
Koji Morimoto, Pengasas Bersama Studio 4°C dari Jepun dan pemikir di sebalik anime terkenal 'Akira', akan mengetuai sesi ucaptama mengenai inovasi dan penceritaan.
Kre8tif! Business Xchange akan menghubungkan pencipta kandungan ASEAN dengan penyiar, pengedar dan pelabur tempatan serta antarabangsa melalui sesi pembentangan idea dan padanan perniagaan, manakala dewan pameran akan menampilkan kandungan digital daripada lebih 100 syarikat serta pavilion yang mewakili Malaysia, Indonesia, Thailand dan negara-negara ASEAN lain.
ADCS 2025 juga akan menampilkan 50 kertas teknikal global dan projek serta harta intelek lebih 60 universiti, sekali gus memberi peluang kepada para pelajar untuk membentangkan hasil kerja mereka dan berinteraksi dengan peneraju industri.
Inisiatif itu dianjurkan bersama KL Chapter Association for Computing Machinery’s Special Interest Group on Computer Graphics and Interactive Techniques (ACM SIGGRAPH) dan program Digital Innovation Creativepreneur (DICE 3.0).
Orang ramai boleh menikmati kejohanan e-sukan, tayangan BoBoiBoy Movie 2 dan Out of the Nest, pemberian barangan eksklusif dan aktiviti kekeluargaan di B5 Johor Street Market.
Festival Filem Animasi Malaysia (MAFF) akan menutup sidang kemuncak itu pada 4 September sebelum berlangsungnya filem animasi pendek tempatan dan bakat-bakat animasi Malaysia di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) terpilih di seluruh negara bermula 16 Oktober.
Masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, layari mdec.my/adcs2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial