AM

Permukiman Selaras SOP Tangani Buli Secara Menyeluruh Diadakan dalam Masa Terdekat - Fahmi

22/08/2025 06:45 PM

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan mengadakan pemukiman khas dalam masa terdekat bagi menyelaras prosedur operasi standard (SOP) mengatasi kes buli secara menyeluruh, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata ia susulan pindaan Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang berkuat kuasa Julai lepas, yang secara jelas mengkategorikan buli sebagai satu jenayah.

"Oleh itu, SOP dan beberapa perkara berkaitan perlu difahami oleh semua institusi," katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Fahmi berkata antara kementerian dan agensi yang terlibat ialah Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan yang menguruskan maktab tentera, Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) khususnya Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia serta dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Beliau berkata penyelarasan itu perlu dilakukan kerana wujud SOP berbeza bagi mengatasi kes buli dalam kalangan agensi-agensi berkenaan.

"Di satu institusi mungkin caranya begini... di institusi lain pula caranya berbeza… namun, daripada aspek pendakwaan dan keselamatan, ia akan melibatkan banyak pihak maka satu pemukiman akan diadakan dalam masa terdekat," katanya.      

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Jemaah Menteri hari ini menerima pembentangan cadangan menubuhkan tribunal kes buli kanak-kanak oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Tetapi beliau meminta sedikit masa untuk menyediakan dokumen-dokumen berkaitan sebelum dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri," katanya.

Azalina sebelum ini berkata kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal Akta Anti-Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.

Kes berkaitan buli pada masa ini ditangani melalui pelbagai akta antaranya Akta Keselamatan Dalam Talian, Akta Antigangguan Seksual, undang-undang buruh serta beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan