AM

KKR Nafi Projek Lebuh Raya Lewat Disebabkan 'Kawtim' Atau Anugerah Politik

18/08/2025 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan kelewatan beberapa projek sakit termasuk Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah berpunca daripada amalan ‘kawtim’ atau pemberian kontrak atas dasar politik. 

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata dakwaan itu hanya persepsi dan tuduhan semata-mata.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada menegur kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawab penyelenggaraan jalan sedia ada semasa kerja-kerja pembinaan, dengan mengambil contoh tinjauan beliau di salah satu pakej dari Kelupit ke Sandakan baru-baru ini, yang mendapati jalan tidak diselenggara dengan baik. 

“Jika kontraktor tidak menyelenggara dengan baik maka Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah boleh melantik kontraktor lain untuk menyelenggara jalan itu dan (kos penyelenggaraan) dipotong daripada kos yang telah dianugerahkan kepada kontraktor berkaitan.

“… tapi setakat ini, belum lagi kita buat. Kita sedang memantau rapi dan memberikan amaran supaya jalan diselenggara dengan baik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang memohon keabsahan kementerian berhubung dakwaan wujudnya amalan ‘kawtim’ sehingga projek-projek seperti pembinaan lebuh raya terbengkalai dan bermasalah.

Menjawab soalan asal Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) berkaitan status terkini pembinaan LPB khususnya di Sipitang, beliau berkata setakat 31 Julai lepas, kemajuan fizikal Pakej 1 dari Sindumin ke Melalia sepanjang 28.5 kilometer (km) dan Pakej 2  (Melalia-Beaufort melibatkan 34.7 km) mengalami kelewatan.

Kedua-dua pakej itu sebahagian daripada 35 pakej kerja projek lebuh raya berkenaan yang berjarak keseluruhan 706 km.

“Skop kerja bagi pakej di Sipitang merangkumi pelebaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong, pembinaan jambatan baharu, naik taraf sistem saliran serta penambahbaikan infrastruktur keselamatan jalan raya.

“Hingga 31 Julai, kemajuan fizikal Pakej 1 mencapai 84.22 peratus berbanding jadual asal 87.43 peratus, iaitu lewat sebanyak 3.21 peratus. Pakej 2 pula berada pada tahap 58.14 peratus berbanding sasaran 60.89 peratus, dengan kelewatan 2.75 peratus,” katanya.

Faktor utama kelewatan adalah keadaan cuaca tidak menentu, musim hujan berpanjangan, isu pengambilan balik tanah yang kini telah diselesaikan serta kekurangan tenaga kerja.

“Bagaimanapun, kementerian menyasarkan kedua-dua fasa projek (Fasa 1A dan 1B) dapat disiapkan masing-masing menjelang suku pertama 2027 dan Oktober 2028, tertakluk kepada kelancaran kerja di lapangan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan