EKONOMI

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susut Daripada Kenaikan 7 Hari Berturut-Turut

14/08/2025 07:21 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini susut daripada kenaikan selama tujuh hari berturut-turut berikutan aktiviti pengambilan untung yang sejajar dengan prestasi lemah di pasaran serantau. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.55 mata, atau 0.35 peratus, untuk ditutup kepada 1,581.05 daripada paras 1,586.60 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 0.31 mata kepada 1,586.91 dan bergerak antara paras 1,575.79 dan 1,595.31 sepanjang hari dagangan.

Keseluruhan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 616 berbanding 399, manakala 547 kaunter tidak berubah, 1,002 tidak diniagakan dan 17 digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.40 bilion unit bernilai RM2.66 bilion daripada 2.71 bilion unit bernilai RM3.07 bilion pada Rabu.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menyifatkan aktiviti pengambilan untung hari ini sebagai positif kerana ia membolehkan pasaran menyerap kenaikan baru-baru ini.

"Indeks petunjuk pasaran mengekalkan struktur harga tingginya selepas melepasi paras 1,565 dan menguji paras 1,585. Kami percaya selagi FBM KLCI kekal melepasi paras 1,565, prospek jangka sederhana hingga panjang dijangka kekal positif, dengan paras 1,600 sebagai sasaran kenaikan seterusnya," katanya kepada Bernama

Oleh itu, beliau menjangkakan indeks utama kekal dalam jajaran antara paras sokongan 1,565 dan paras rintangan 1,585-1,600.

Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata, pasaran tempatan dijangka meneruskan momentum menaiknya, didorong oleh keyakinan yang semakin meningkat terhadap aliran kadar faedah AS, yang terus menyokong keyakinan pelabur dan minat risiko merentas sektor utama.

“Penurunan kadar Rizab Persekutuan dijangka memberi manfaat kepada pasaran ekuiti Malaysia. Kadar faedah AS yang lebih rendah biasanya mengecilkan perbezaan hasil antara Perbendaharaan AS dan aset pasaran sedang pesat membangun, mengurangkan daya tarikan instrumen dalam denominasi dolar AS.

“Ini secara amnya menyokong aliran masuk modal ke dalam pasaran serantau yang menjana hasil tinggi, termasuk Malaysia, di samping mengurangkan tekanan meningkat ke atas dolar AS,” katanya.

Mohd Sedek berkata dasar monetari AS yang lebih akomodatif boleh meningkatkan sentimen risiko global, menggalakkan peningkatan penyertaan asing dalam ekuiti Malaysia, terutamanya dalam sektor yang terdedah kepada permintaan luar dan pemulihan perdagangan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan CIMB meningkat 1.0 sen masing-masing kepada RM4.45 dan RM7.20, manakala Maybank susut 2.0 sen kepada RM9.84, Tenaga Nasional turun 12 sen kepada RM13.68 dan IHH Healthcare berkurangan 1.0 sen kepada RM6.90.

Dalam kalangan kaunter paling aktif, Tanco naik 1.5 sen kepada 72 sen, Oxford Innotech meningkat 3.0 sen kepada 41 sen, Pharmaniaga susut 1.0 sen kepada 17.5 sen, MR D.I.Y. berkurangan 6.0 sen kepada RM1.54 dan TWL tidak berubah pada 2.5 sen.

Di keseluruhan pasaran, Indeks FBM Emas susut 43.26 mata kepada 11,760.92, Indeks FBMT 100 turun 45.29 mata kepada 11,543.72, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 60.10 mata kepada 11,708.45 dan Indeks FBM 70 menyusut 86.43 mata kepada 16,689.93. Bagaimanapun Indeks  FBM ACE menambah 11.93 mata kepada 4,666.54. 

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 23.37 mata kepada 18,050.53, Indeks Perladangan turun 16.34 mata kepada 7,581.65, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.43 mata kepada 158.94, dan Indeks Tenaga menokok 1.85 mata kepada 739.49.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.33 bilion unit bernilai RM2.42 bilion daripada 1.57 bilion unit bernilai RM2.85 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 683.46 juta unit bernilai RM100.19 juta daripada 771.34 juta unit bernilai RM103.11 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 391.12 juta unit bernilai RM142.13 juta daripada 360.56 juta unit bernilai RM119.44 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 243.09 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (201.12 juta), pembinaan (116.46 juta), teknologi (136.49 juta), perkhidmatan kewangan (94.48 juta), hartanah (188.63 juta), perladangan (21.66 juta), REIT (34.30 juta), dana tertutup (8,400), tenaga (62.47 juta), penjagaan kesihatan (97.95 juta), telekomunikasi dan media (49.12 juta), pengangkutan dan logistik (22.57 juta), utiliti (60.99 juta), dan amanah perniagaan (23,900).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan