KOTA BHARU, 14 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan mula mengambil langkah persediaan awal bagi menghadapi musim tengkujuh pada tahun ini, kata Pengarahnya Nik Soh Yaacoub.
Beliau berkata antara tindakan yang diambil termasuk pemeriksaan struktur jalan, ketersediaan logistik serta penyelenggaraan jalan yang telah rosak.
"Setakat ini, kita telah meminta semua (JKR) jajahan bersiap siaga termasuk logistik, penugasan pegawai dan sebagainya supaya segalanya berjalan lancar dan mengikut perancangan sekiranya banjir.
“Malah, kita juga telah mengeluarkan arahan agar jalan yang rosak dibaiki termasuk pembaikan di lokasi-lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kembara Merdeka JKR Kelantan di pekarangan JKR negeri di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama rapat dengan agensi lain bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya infrastruktur awam terjejas akibat banjir.
Mengenai Kembara Merdeka JKR, Nik Soh berkata kembara itu akan menjelajah ke 10 jajahan bermula hari ini bagi menzahirkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Beliau berkata program yang memasuki edisi kedua pada tahun ini disertai kakitangan JKR Kelantan termasuk jurutera jajahan serta ketua bahagian melibatkan perjalanan lebih 500 kilometer yang akan berakhir esok.
"Sebanyak 130 peserta konvoi yang menaiki motosikal akan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang perjalanan. Inisiatif ini sebagai usaha untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan di samping bertemu mata dengan warga JKR di seluruh jajahan," katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial