KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- AIA Public Takaful Bhd mengumumkan pelantikan Mohd Asri Omar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat itu berkuat kuasa 11 Ogos, 2025.
Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan Mohd Asri yang mempunyai lebih 27 tahun pengalaman dalam industri insurans dan takaful memiliki kepakaran luas dalam pengedaran agensi, strategi perniagaan, hal ehwal undang-undang dan tadbir urus syariah.
“Pelantikannya menandakan era kepimpinan baharu yang tertumpu kepada pengukuhan komitmen AIA Public Takaful dalam menyampaikan proposisi Penyelesaian Syariah Menyeluruh syarikat.
"Ia merupakan satu pendekatan holistik yang melangkaui penawaran produk merangkumi perlindungan kewangan yang mampan, berasaskan tujuan serta disampaikan secara profesional selaras dengan prinsip Maqasid Syariah, katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan Mohd Asri dibuat pada ketika AIA Public Takaful mencatatkan momentum kukuh susulan kejayaan pengendali takaful berkenaan mengisytiharkan agihan lebihan tertinggi sejak penubuhannya iaitu sebanyak RM84 juta.
Katanya, pencapaian ini mencerminkan kekuatan kewangan syarikat, kecemerlangan tenaga agensinya serta komitmen berterusan dalam menyampaikan nilai terbaik kepada para pelanggannya.
“Pelantikan Mohd Asri dibuat pada ketika syarikat berada dalam momentum kukuh susulan pencapaian terkini AIA Public Takaful yang mengisytiharkan agihan lebihan tertinggi sejak penubuhannya iaitu sebanyak RM84 juta.
"Ini mencerminkan kekuatan kewangan syarikat, kecemerlangan agensinya serta komitmen berterusan dalam memberikan nilai kepada para pelanggan,” menurut kenyataan berkenaan.
Sementara itu, CEO AIA Malaysia Ben Ng berkata pengalaman luas Mohd Asri dalam industri serta kelayakan dalam bidang syariahnya yang kukuh menjadikannya individu tepat untuk menerajui AIA Public Takaful ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Saya yakin di bawah kepimpinannya, AIA Public Takaful akan menjadi pemangkin pertumbuhan penting bagi AIA Malaysia dan membantu merealisasikan aspirasi strategik kami.
“Dengan kehadiran Mohd Asri dalam pasukan, kami berharap dapat mempercepatkan pengembangan tenaga agensi takaful profesional kami sekali gus membolehkan syarikat melindungi lebih ramai rakyat Malaysia dan terus mengukuhkan matlamat untuk membantu pelanggan menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna,” katanya.
Sebelum pelantikan ini, Mohd Asri berkhidmat sebagai CEO Hong Leong MSIG Takaful Bhd sejak 2018.
Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan kepimpinan kanan di AIA Public Takaful termasuk sebagai Ketua Tadbir Urus dan Strategi.
Mohd Asri berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia serta memiliki dwi ijazah iaitu Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Syariah (LLBS) dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial