LABUAN, 14 Ogos (Bernama) -- Karnival Kempen Internet Selamat menghimpunkan kesemua 28 sekolah di Labuan, iaitu 17 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah dalam usaha berskala besar untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan pelajar di pulau bebas cukai ini.
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Wilayah Persekutuan Faisal Hamdi Mohammed Ghouth berkata inisiatif itu bertujuan untuk melengkapkan generasi muda dengan pengetahuan dan kemahiran untuk melayari dunia dalam talian dengan selamat serta bertanggungjawab.
Beliau berkata acara penting yang diadakan baru-baru ini merupakan kali pertama sebuah program yang menyeluruh dianjurkan di Labuan, melibatkan penyertaan aktif pemimpin sekolah, guru-guru dan para pelajar.
“Kita perlu merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan sekolah-sekolah yang terlibat atas komitmen, sokongan dan kerjasama yang padu dalam menjayakan program ini.
“Hari ini, Internet bukan sekadar alat komunikasi, tetapi sebahagian daripada gaya hidup harian kita, menawarkan pelbagai peluang untuk pembelajaran, interaksi dan penerokaan ilmu. Namun, manfaat ini turut hadir bersama risiko dan cabaran, khususnya kepada golongan muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata buli siber kekal sebagai antara isu paling mendesak dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia, yang kerap berlaku melalui media sosial.
“Pelajar juga terdedah kepada penipuan dalam talian dan percubaan pancing data yang boleh mengakibatkan kerugian kewangan atau kecurian data peribadi,” katanya.
Faisal Hamdi berkata kempen itu menekankan larangan kepada kanak-kanak di bawah umur 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial, memastikan penggunaan Internet diawasi ibu bapa atau penjaga, meningkatkan kesedaran mengenai penipuan dalam talian, buli siber dan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) serta menggalakkan penggunaan Internet yang selamat dan beretika.
Beliau berkata pendedahan dan pendidikan awal adalah sangat penting untuk mempersiapkan kanak-kanak menghadapi cabaran dunia digital dan membolehkan mereka menjadi pengguna Internet yang bertanggungjawab.
“Pesanan yang ingin kami sampaikan melalui kempen ini jelas, Internet bukanlah musuh kita, ia adalah alat yang berkuasa jika digunakan dengan betul.
“Namun, tanpa bimbingan dan kawalan yang sesuai, ia boleh menjadi satu ancaman. Kempen ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mendidik masyarakat dan membina sebuah masyarakat yang berilmu, beretika dan selamat,” katanya.
Beliau berkata semua pihak berkepentingan termasuk sekolah, ibu bapa dan masyarakat umum diseru untuk berganding bahu memupuk budaya penggunaan Internet yang selamat di rumah, sekolah dan seluruh kejiranan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial