AM

TDM TELITI SEMULA SOP BABIT LATIHAN KADET PALAPES - PTD

12/08/2025 05:27 PM

GEMAS, 12 Ogos (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) sedang meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan latihan yang dilaksanakan termasuk membabitkan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata SOP berkenaan meliputi menambah baik aspek pemeriksaan kesihatan yang perlu dibuat secara lebih teliti sebelum latihan dimulakan.

“Hal ini berikutan latihan ini adalah berisiko tinggi kerana membabitkan penggunaan peluru hidup sekali gus bertujuan menguji dan meningkatkan daya tahan, keyakinan serta keberanian anggota dan pegawai dilatih.

“Latihan (PALAPES) ini dilaksanakan kepada 112 peserta setiap satu sesi, lebih 20 pegawai dan jurulatih ditempatkan untuk mengawasi pelaksanaan eksesais itu, latihan itu juga tidak lama cuma mengambil masa kira-kira 15 minit,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Sebelum ini, Kadet PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Syamsul Haris Shamsudin, 22, dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan PALAPES UTM di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.

Penuntut Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu menyertai latihan PALAPES UTM bermula 26 Julai lepas dan dijadualkan berakhir 3 Ogos.

Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata keputusan siasatan kes kematian pelatih itu yang dijalankan jawatankuasa siasatan TDM akan dimuktamadkan hari ini dan beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu.

“Kejadian yang menimpa amat dikesali, walaupun berlaku dalam satu sesi latihan yang sememangnya dirancang sedemikian rupa,” katanya sambil menambah latihan disertai Allahyarham mematuhi SOP ditetapkan. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata TDM sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak untuk membekalkan pesawat yang mempunyai keupayaan dan ciri-ciri memenuhi spesifikasi terutama helikopter Black Hawk.

Mengenai LKT, beliau berkata ia membabitkan kira-kira 2,500 anggota daripada ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain julung kali disertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme serta menguji doktrin dan prosedur.

LKT kali ini, katanya turut menumpukan integrasi moden dengan mempamerkan perolehan dron atau pesawat tanpa pemandu (UAS) jenis FlyEye untuk misi risikan, pengawasan dan peninjauan serta penilaian kerosakan pertempuran secara nyata masa.

Ditanya sama ada LKT adalah reaksi kepada ketegangan serantau yang berlaku ketika ini, beliau berkata latihan seumpama itu bertujuan memastikan TDM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk menangani sebarang kemungkinan ancaman dan melindungi kedaulatan negara.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa ketegangan yang berlaku di rantau ini memberikan satu wake up call kepada kita semua bahawa keselamatan negara tidak boleh kita pandang mudah. Latihan ini juga sebagai mesej atau amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keselamatan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan