AM

MALAYSIA TECHLYMPICS CATAT PURATA 1.4 JUTA PENYERTAAN SETIAP TAHUN

12/08/2025 03:24 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos (Bernama) -- Program Malaysia Techlympics mencatatkan hampir 1.4 juta penyertaan secara purata setiap tahun sejak dianjurkan pada 2022, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohamad Yusof Apdal.

Beliau berkata program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berjaya menarik 1.03 juta penyertaan pada tahun pertama dan jumlah itu meningkat kepada 1.82 juta pada 2023 dan 1.31 juta, tahun lepas.

“Bermula Jun lepas, Malaysia Techlympics telah dilaksanakan secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian di pelbagai lokasi di seluruh negara. 

“Pendekatan ini membolehkan capaian yang lebih luas dan menggalakkan penyertaan komuniti setempat dalam pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara,” katanya ketika berucap merasmikan Malaysia Techlympics 2025 Zon Pantai Timur, di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu di sini hari ini.

Mohamad Yusof berkata inisiatif berkenaan juga selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang menekankan pelaksanaan program pembudayaan STI secara bersepadu, konsisten dan inklusif bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang peranan STI dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata melalui Malaysia Techlympics, pelbagai pertandingan berteraskan teknologi sohor seperti kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT), dron, pengekodan dan robotik akan dipertandingkan di peringkat zon, negeri dan kebangsaan, melibatkan mereka yang berumur tujuh hingga 30 tahun.

Sementara itu, Mohamad Yusof berkata Malaysia Techlympics 2025 Zon Pantai Timur yang diadakan selama dua hari bermula semalam berjaya menarik lebih 2,000 peserta dari 120 buah sekolah di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Beliau berkata jumlah kehadiran peserta yang amat memberangsangkan itu seiring dengan prinsip keterangkuman MOSTI yang ingin memastikan pelajar dan masyarakat di kawasan luar bandar juga mempunyai akses kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Mohamad Yusof berkata untuk tujuan berkenaan, Malaysia Techlympics turut melaksanakan program jangkauan keterangkuman di kawasan luar bandar. 

“Sehingga kini lebih 1,500 pelajar dan 1,000 guru dari Zon Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan telah terlibat dalam program ini melalui pelbagai bentuk latihan, termasuk sesi Training of Trainers (ToT) secara fizikal dan dalam talian,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan