AM

NAIB CANSELOR UITM DINOBAT PENERIMA TOKOH JAMINAN KUALITI (DALAM NEGARA)

12/08/2025 03:16 PM

SHAH ALAM, 12 Ogos (Bernama) -- Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Jaminan Kualiti (Dalam Negara) pada Majlis Anugerah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2025, malam tadi.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan, Shahrin mencipta sejarah sebagai ahli akademik pertama negara menerima anugerah itu, yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada majlis di ibu negara.

Pengiktirafan tersebut diberi atas sumbangan dan penglibatan konsisten beliau sejak 1997, bermula di Lembaga Akreditasi Negara (LAN), kemudian Badan Jaminan Kualiti Akademik (BJKA), dan kini bersama MQA dalam memacu kecemerlangan jaminan kualiti pendidikan tinggi negara.

Peranan beliau merangkumi pelbagai kapasiti, termasuk sebagai penilai, Ahli Majlis MQA, dan penasihat strategik dalam pembangunan dasar kualiti akademik negara. 

Dalam kenyataan sama, Shahrin turut mengucapkan tahniah kepada UiTM yang menjadi finalis bagi dua kategori lain iaitu Anugerah Audit Kualiti Dalaman (IQA) dan Anugerah Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH) melalui penyertaan Institute of Quality and Knowledge Advancement (InQKA) serta Institute of Continuing Education & Professional Studies (ICEPS).

Anugerah MQA 2025 merupakan inisiatif julung kali agensi itu bagi mengiktiraf institusi dan individu yang mencapai kecemerlangan dalam kualiti akademik, inovasi dan tadbir urus, meliputi sektor pendidikan tinggi awam, swasta, politeknik, kolej komuniti, kolej swasta, serta institusi latihan awam, selari dengan aspirasi Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan