AM

BATIK LABUAN SEDIA MENYINAR DI PENTAS ANTARABANGSA

12/08/2025 12:18 PM

LABUAN, 12 Ogos (Bernama) -- Batik Labuan bakal dibawa ke pentas fesyen Malaysia sebelum melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa, dengan keunikan warna yang menyerlah, motif flora dan berinspirasikan marin serta ikatan erat dengan warisan budaya pulau berkenaan.

Dengan kehalusan seni dan teknik inovatif, kraf tangan itu semakin mendapat tempat sebagai satu daripada produk budaya Labuan yang berpotensi besar untuk dieksport.

Galeri Kraftangan Labuan Warisan (LAWA) yang ditubuhkan baru-baru ini, dan dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada 27 Julai lepas, tidak mengambil masa lama untuk menjadi destinasi tumpuan pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Dalam tempoh beberapa minggu sahaja sejak pembukaannya, galeri itu berkembang menjadi hab kebudayaan, menawarkan pengalaman secara langsung melihat proses penghasilan batik serta mempamerkan seni unik Labuan.

Pengunjung berpeluang menyaksikan pengusaha batik bekerja, mempelajari peringkat penghasilan batik yang teliti dan membeli hasil kraf tangan yang membawa identiti Labuan.

Keistimewaan batik Labuan terletak pada penggunaan sagu secara inovatif iaitu sejenis kanji yang diekstrak daripada empulur pokok rumbia (Metroxylon sagu) sebagai bahan utama penahan warna menggantikan lilin tradisional. Sagu yang disapu menggunakan canting atau berus mampu menghasilkan corak halus, mesra alam dan mudah diperoleh di Labuan.

Pendekatan mesra alam itu bukan sahaja mengukuhkan kredibiliti kelestarian pulau berkenaan, malah membezakan batik Labuan sebagai seni yang mencerminkan sumber semula jadinya yang unik.

Peneraju utama dalam usaha itu ialah Mastura Abd Razak, 44, anak jati Labuan berketurunan Brunei dan satu-satunya usahawan batik di pulau berkenaan.

Mastura yang mendapat latihan di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, cawangan Sabah mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya Abd Rahmad Abd Malik, 45, dari Sarawak.

Bengkel pasangan itu di LAWA menjadi pusat tumpuan apresiasi budaya, pemindahan kemahiran dan pemeliharaan warisan. Mastura kini turut menerima tempahan daripada agensi kerajaan dan sektor korporat, selain pelanggan individu.

Perniagaan pasangan itu mendapat sokongan penuh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), yang membolehkan peluasan inisiatif promosi batik dan penyertaan batik Labuan dalam pameran tempatan serta serantau.

Mastura percaya sokongan sedemikian penting untuk melonjakkan profil batik Labuan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Dengan sokongan berterusan kerajaan, batik Labuan mampu berdiri setanding batik Terengganu di persada antarabangsa.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya membayangkan batik Labuan akan diperagakan oleh model terkenal di pertunjukan fesyen dalam dan luar negara. Ia akan menjadi hadiah dari pulau kita kepada dunia, cenderahati berharga untuk pelancong dan koleksi bernilai di pasaran global,” katanya.

Selain nilai seninya, kebangkitan batik Labuan turut menjanjikan potensi ekonomi. Ketika sektor pelancongan kembali rancak, produk budaya unik seperti batik menjadi tarikan utama kepada pelancong yang mencari cenderamata autentik.

Jika dipasarkan secara berkesan, batik Labuan mampu menyumbang kepada ekonomi kreatif pulau berkenaan, membuka peluang pekerjaan kepada pengusaha tempatan dan meletakkan Labuan sebagai destinasi khusus pelancongan budaya.

Dengan gabungan rekaan berteraskan warisan, teknik lestari dan visi ke arah pasaran global, batik Labuan sedang menenun era baharu yang berpotensi menjulang kraf tangan kecil pulau berkenaan setanding dengan yang terbaik di dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan